Dalam nasihat, ada terkandung alternatif yang perlu dipilih untuk menyelesaikan permasalahan yang timbul.
DALAM menempuh kehidupan seharian, kita tidak boleh lari daripada melakukan kesilapan. Pelbagai faktor boleh dikaitkan dalam melakukan kesilapan, mungkin kerana lupa, terlepas pandang, tidak disengajakan atau tidak mendapat maklumat yang cukup.
Oleh itu, amalan nasihat menasihati dalam kehidupan merupakan salah satu cara untuk mewujudkan keharmonian hidup. Rasulullah s.a.w menegaskan dalam sabdanya yang bermaksud: 'Agama Islam itu nasihat. Kami berkata bagi siapa wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Bagi Allah dan kitabNya (al-Quran) dan Rasul-Nya (Sunah-Nya ) dan bagi para Imam (ketua kaum Muslim), serta bagi orang ramai' - hadis riwayat Muslim.
Dalam konteks yang lebih besar, amalan nasihat menasihati merupakan tanggungjawab seorang Muslim terhadap yang lain. Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: 'Hak dan tanggungjawab seorang Muslim terhadap seorang Muslim yang lain ada enam. Jika anda bertemu maka ucapkanlah salam kepadanya dan jika anda dijemput maka hendaklah memperkenankannya, dan jika dia meminta nasihat maka nasihatilah dia dan jika dia bersin dan mengucapkan alhamdulillah maka doakanlah dia semoga dia dirahmati Allah dan jika dia sakit maka ziarahilah dan jika dia mati maka iringilah jenazahnya hingga ke kubur' - hadis riwayat Muslim. Firman Allah s.w.t yang bermaksud: 'Tugas Aku (Nuh) menyampaikan kepada kamu perintah-perintah kamu, sedang aku mengetahui melalui wahyu dari Allah akan apa yang kamu tidak mengetahui' - surah al-A'raf:62.
Amalan hidup nasihat menasihati merupakan tuntutan dan beberapa perkara berkaitan perlu diberi perhatian. Dalam memberi dan menerima nasihat, kita perlulah bersifat positif, tidak terburu-buru, tidak buruk sangka, sentiasa menyelidik dan mengelakkan diri daripada sifat dendam. Allah s.w.t mengingati dengan firmannya yang bermaksud: 'Wahai orang yang beriman, jauhilah kebanyakan sangkaan, sesungguhnya sebahagian sangkaan itu dusta' - surah al-Hujurat :12. Talhah bin Abdul Rahman bin Auf, seorang dermawan Quraisy ditegur oleh isterinya yang berkata: "Saya belum pernah jumpa teman-teman seburuk teman-temanmu.
"Kalau kita senang, semua datang menemui, sekarang bila kita susah, tiada pun mereka datang menemui kita." Jawab suaminya: "Sifat inilah yang patut dipuji, sebab mereka tidak menyusahkan kita."
Seorang ibu bapa tidak boleh tidak untuk sentiasa memberi nasihat kepada anak-anaknya. Ini merupakan satu kewajipan yang perlu dipikul dalam mendidik anak-anak. Namun apa yang tidak disukai oleh anak-anak adalah amalan sikap suka meleter yang tidak bertempat. Amalkan sikap menjadi pendengar yang teliti dan aktif. Hidupkan suasana dan naluri bertanya (dua hala) dan elakkan mencari kesalahan serta carilah perkara yang baik dan positif.
Dalam keadaan tertentu, bukan semua orang suka mendengar nasihat. Namun sifat yang baik apabila diberi nasihat, cubalah jadikan diri sebagai orang positif dalam menerima nasihat. Dalam nasihat, ada terkandung alternatif yang perlu dipilih untuk menyelesaikan permasalahan yang timbul. Apa yang penting dalam amalan nasihat menasihati ialah semangat dan amalan silaturahim hendaklah terus terjalin.
Jangan jadikan nasihat sebagai satu kritikan yang boleh menyakiti hati dan perasaan yang boleh memutuskan hubungan silaturahim. Allah s.w.t mengingatkan kita dalam firmannya yang bermaksud: 'Berpegang teguhlah kamu semua dengan tali (agama Islam) Allah dan jangan kamu bercerai berai.' - surah al-Imran:103.
0 ulasan:
Catat Ulasan