|
DEWASA ini komputer riba merupakan perkara biasa yang dibawa orang ramai ke mana-mana mereka pergi. Bermula daripada pelajar sehingga kepada usahawan, gajet tersebut menjadi semakin penting dan amat membantu dalam kehidupan seharian.
Namun, rata-rata pengguna komputer riba sering merungut berikutan ruangan menyimpan data dalam cakera keras tidak mampu menampung saiz data yang besar dan banyak.
Justeru, ia menimbulkan kesusahan kepada pengguna untuk memilih serta mengehadkan maklumat tertentu sahaja untuk disimpan.
Menyedari keperluan terhadap ruang penyimpanan yang lebih besar tanpa memerlukan pengguna mengubah suai komputer riba mereka, Iomega Corporation menyediakan sebuah pemacu cakera tambahan untuk pengguna komputer tersebut.
Di kenali sebagai Iomega® External USB 3.0 SSD tersedia dalam saiz penyimpan bermula daripada 64GB, 128GB dan 256GB.
Pemacu cakera tambahan daripada Iomega itu hanya bersaiz poket, 18 inci dan memiliki ciri-ciri keselamatan sebanyak 256 bit bersama perisian pertahanan antivirus binaan dalaman dan di tambah dengan jaminan selama tiga tahun.
Menurut Timbalan Presiden Iomega Corporation Asia Pasifik dan Jepun, Rajeev Mukul, pemacu cakera tambahan Iomega sangat padat serta dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan yang tinggi bagi melindungi fail serta data penting pengguna.
‘‘Apabila anda memiliki data yang amat penting dan mahu memiliki unit penyimpanan data mudah alih yang terbaik maka pemacu cakera tambahan Iomega merupakan pilihan yang terbaik,” ujarnya.
Ia juga memiliki kelajuan pemindahan data yang amat tinggi untuk fail seperti video, gambar digital, grafik dan muzik.
Bagi pengguna yang terdiri daripada jurukamera mahu pun jurugambar ia merupakan calon yang sesuai buat mereka.
Berbanding dengan USB 2.0, ia memiliki kelajuan sehingga 10 kali ganda dan dua kali lebih pantas sama seperti kelajuan pemacu cakera 7200 RPM SATA.
Pemacu cakera tambahan Iomega SSD juga tidak memerlukan kuasa tambahan malah ia boleh terus digunakan melalui sambungan USB seperti biasa pada mana-mana komputer riba mahupun komputer biasa.
Sementara itu, harga bagi pemacu cakera tambahan Iomega SSD juga agak berbaloi dan mampu untuk dimiliki.