Jumaat, 31 Disember 2010
MURAHKAN REZEKI
SELAMAT TINGGAL 2010......SEMOGA 2011 PENUH ERTI......
Salam....rasa kemalasan yg agak parah ,boleh di katakan.....hari ni baru...ummi nak entry itu pun untk kenangan meninggalkan tahun 2010 lebih kurang 1 jam mulai dari ummi tngah entry ni dan insyallah sekejap je lg ummi sekeluarga akan tempuhi thn 2011.Ummi berdoa pd hadhrat illahi semoga thn ni kehidupan ummi serta keluarga agar setiap apa yg kami lakukan dirahmati 'NYA' setiap hari,setiap langkah,setiap rezeki mendatang dan kebahagiaan ummi sekeluarga.Harapan ummi,agar kami di murahkan rezeki.....jg,kakak mendapat keputusan cemerlang dlm ppriksaannya thn 2011 iaitu UPSR dan hari ni,besday kakak....HEPY BESDAY KAKAK...ummi sayang kakak ......sehingga hayat dikandung badan.
Label: tahun baru
Sabtu, 18 Disember 2010
BUAH HATI UMMI SELAMANYA
buah hatiku...... |
putera-puteraku |
Jumaat, 17 Disember 2010
TEKNOLOGI LAJU
|
DEWASA ini komputer riba merupakan perkara biasa yang dibawa orang ramai ke mana-mana mereka pergi. Bermula daripada pelajar sehingga kepada usahawan, gajet tersebut menjadi semakin penting dan amat membantu dalam kehidupan seharian.
Namun, rata-rata pengguna komputer riba sering merungut berikutan ruangan menyimpan data dalam cakera keras tidak mampu menampung saiz data yang besar dan banyak.
Justeru, ia menimbulkan kesusahan kepada pengguna untuk memilih serta mengehadkan maklumat tertentu sahaja untuk disimpan.
Menyedari keperluan terhadap ruang penyimpanan yang lebih besar tanpa memerlukan pengguna mengubah suai komputer riba mereka, Iomega Corporation menyediakan sebuah pemacu cakera tambahan untuk pengguna komputer tersebut.
Di kenali sebagai Iomega® External USB 3.0 SSD tersedia dalam saiz penyimpan bermula daripada 64GB, 128GB dan 256GB.
Pemacu cakera tambahan daripada Iomega itu hanya bersaiz poket, 18 inci dan memiliki ciri-ciri keselamatan sebanyak 256 bit bersama perisian pertahanan antivirus binaan dalaman dan di tambah dengan jaminan selama tiga tahun.
Menurut Timbalan Presiden Iomega Corporation Asia Pasifik dan Jepun, Rajeev Mukul, pemacu cakera tambahan Iomega sangat padat serta dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan yang tinggi bagi melindungi fail serta data penting pengguna.
‘‘Apabila anda memiliki data yang amat penting dan mahu memiliki unit penyimpanan data mudah alih yang terbaik maka pemacu cakera tambahan Iomega merupakan pilihan yang terbaik,” ujarnya.
Ia juga memiliki kelajuan pemindahan data yang amat tinggi untuk fail seperti video, gambar digital, grafik dan muzik.
Bagi pengguna yang terdiri daripada jurukamera mahu pun jurugambar ia merupakan calon yang sesuai buat mereka.
Berbanding dengan USB 2.0, ia memiliki kelajuan sehingga 10 kali ganda dan dua kali lebih pantas sama seperti kelajuan pemacu cakera 7200 RPM SATA.
Pemacu cakera tambahan Iomega SSD juga tidak memerlukan kuasa tambahan malah ia boleh terus digunakan melalui sambungan USB seperti biasa pada mana-mana komputer riba mahupun komputer biasa.
Sementara itu, harga bagi pemacu cakera tambahan Iomega SSD juga agak berbaloi dan mampu untuk dimiliki.
Sabtu, 11 Disember 2010
WANITA BERBOHONG
Umumnya, wanita berbohong bukannya disebabkan mereka tiada arah tuju atau cuba mencipta sesuatu perkara yang tidak masuk fikiran. Terdapat beberapa alasan yang mendorong mereka melakukan hal ini.
1. Balas dendam
Sekiranya kamu berani mengkhianati cintanya, dia juga akan berani membalasnya. Bahkan, dia lebih hebat daripada kamu. Walaupun tindakannya itu telah diketahui, mungkin dia sengaja melakukan sedemikian. Ramai wanita mempunyai cara tersendiri saat menghadapi situasi pembohongan yang dilakukan kekasihnya. Malah, dia juga berani melakukannya dengan secara tersembunyi, tanpa pengetahuan kamu.
2. Urutan kasih
Wanita sememangnya menginginkan dirinya dicintai dan dihargai. Apatah lagi, mengharapkan sebuah percintaan yang tiada titik noktahnya. Lebih-lebih lagi daripada insan tersayang. Mereka ingin menjadi wanita pertama di dalam hidup kamu dan bukannya, berada di tangga kedua atau berikutnya. Sekali kamu menduakan cintanya, dia akan berkali-kali mengkhianati hidup kamu.
3. Kekerasan
Kini, ramai wanita semakin sedar tentang pentingnya penghargaan yang patut diterimanya. Salah satunya ialah bersikap tegas ketika pasangannya melakukan kekerasan (umumnya secara fizikal) kepadanya. Mungkin pada awalnya dia akan cuba bertahan, tetapi apabila kamu kembali mengulangi tindakan tersebut, mereka akan meninggalkan kamu tanpa sebaris nota. Mereka yakin, masih ramai lelaki di luar sana yang dapat menghargai dirinya yang jauh lebih baik daripada kamu.
4. Hambar
Wanita begitu gemar hal-hal yang remeh atau kecil. Misalnya, hari ulang tahunnya, hari jadi kamu berdua atau hal-hal istimewa lainnya. Hati-hati bila kamu menganggap semua ini sebagai hal yang remeh. Apatah lagi apabila selama ini, si dia selalu mengurus hal yang melibatkan pengorbanan demi kekasihnya.
Sekiranya, kamu tidak pernah sesekali menghargai apa yang dia lakukan untuk kamu dan mengabaikan hal-hal yang dianggapnya penting, bersiap sedialah menghadapi pertengkaran yang hebat.
5. Seks
Meskipun kamu tidak memberikan perhatian yang sepenuhnya terhadap si dia, ketidakpuasan dalam urusan seks mampu memberi kesan yang mendalam terhadap perhubungan. Ingat, akibat kurangnya layanan seks, ia akan mendatangkan kesan bahaya dalam perkahwinan. Oleh itu, segeralah mencari jalan penyelesaiannya.
6. Cadangan
Saat putus cinta, biasanya kaum wanita lebih cepat 'menderita' ketika menghadapi hari-hari mendatang sebelum mampu bangkit semula untuk hidup gembira.
Ini kerana, sewaktu dia mendapat petunjuk bahawa perhubungan itu tidak dapat dipertahankan lagi, mungkin dia akan mencari pengganti kamu. Jadi, sekiranya kamu benar-benar mencintainya, perbaikilah hubungan kamu dengannya segera.
7. Jejaka bermasalah
Maksudnya, terdapat banyak perkara di sekeliling kamu yang membuatkan pasangan merasakan kamu tidak diperlukan lagi. Sebabnya, selain menjalani hubungan cinta yang sudah tentunya tidak lepas daripada kekangan masalah, kamu juga harus menangani karakter kekasih yang semakin berani. Ingat, dia bersikap sedemikian disebabkan kamu yang memulakannya dahulu.
8. Hubungan tiada kesudahan
Kebiasaannya, saat menjalani hubungan dengan pasangan, wanita menginginkan adanya hubungan yang penuh komitmen, iaitu hubungan yang diakhiri dengan keputusan membanggakan.
Apabila sudah lama menjalin hubungan cinta, tetapi tiada keputusan untuk ke jinjang pelamin, wanita akan berfikir bahawa kamu tidak lagi menginginkan dia dalam hidupnya. Jadi, buat apa menunggu kamu dengan lebih lama?
9. Bosan
Hal ini muncul disebabkan dia terperangkap dalam rutin hariannya sama ada kerja rumah mahupun hubungan yang dijalinkan itu begitu membosankan.
Baginya, jika kamu tidak memberinya perhatian yang diharapkan dan waktu kamu pula lebih banyak dihabiskan untuk urusan lain, biasanya wanita akan mencari jalan penyelesaiannya yang tersendiri. Perlu diingatkan bahawa wanita gemarkan suatu kejutan dan selalu ingin dirinya lebih istimewa.
10. Hubungan tidak diduga
Pada awalnya, dia berasa terlalu selesa saat menjalin hubungan dengan kamu. Tetapi ternyata, dia tidak menikmati kehangatan bersama dan terasa begitu terikat dengan kamu. Tidak hairanlah apabila kamu masih cuba membawanya ke sana dan ke sini, dia mula bersikap dingin kerana sudah menyerahkan seluruh perasaannya kepada insan lain.
BERBOHONG SECARA KOMPULSIF
Apabila anak berbohong secara kerap ia adalah petanda awal masalah yang lebih serius.
KANAK-KANAK berbohong. Inilah satu kenyataan yang perlu dihadapi oleh kebanyakan ibu bapa. Tiada arahan atau galakan diperlukan.
Berbohong seakan sudah sebati dalam jiwa sesetengah kanak-kanak. Memperbesarkan masalah, memutar-belitkan kebenaran, mereka cerita dan menafikan kenyataan adalah antara yang akan dilakukan sewaktu bercakap bohong.
Namun, jika kekerapan seseorang anak berbohong menjadi kompulsif dan tanpa sebab, ibu bapa mungkin perlu 'campur tangan'.
Apabila kitaran penipuan bermula, ia akan menghilangkan kepercayaan orang lain terhadap si anak, sekali gus menyukarkan kitaran tidak sihat ini dihentikan.
Oleh sebab itulah, ibu bapa perlu bertindak meneroka sebab anak berbohong dan perlu mencari jalan penyelesaian untuk memperbaiki tabiat buruk itu.
Mungkin ramai yang tidak tahu berbohong juga adalah petanda awal kepada masalah yang lebih serius.
Berbohong cara kompulsif biasanya dikaitkan dengan penderitaan anak ekoran gangguan masalah sosial pada peringkat awal. Khasnya akibat penyakit Gangguan Hiperaktif dan Kurang Daya Tumpuan (ADHD) dan gangguan perilaku.
Dalam sesetengah kes, tabiat berbohong secara kompulsif turut disertakan dengan masalah kelakuan yang lain. Ini termasuk mencuri, ponteng sekolah, bersikap ganas, agresif dan kemahiran bersosial yang lemah.
Masalah seperti ini biasanya bercambah daripada rasa tidak selesa dalam situasi bersosial, bertindak secara spontan dan tidak menumpukan perhatian.
Apabila berlaku situasi seperti ini, penglibatan pakar-pakar kaunseling misalnya, amat penting untuk membantu kanak-kanak ini. Kaunselor-kaunselor dapat menolong melengkapkan ibu bapa dengan gaya mendidik serta pemahaman terhadap anak yang lebih spesifik.
Mengapa berbohong?
Terdapat beberapa sebab mengapa kanak-kanak bercakap bohong secara kompulsif.
Takut
Perasaan takut adalah pendorong biasa untuk seseorang memberanikan diri berbohong. Takut dimarahi ibu atau takut kebebasan yang diberikan akan dirampas. Ketakutan yang rasional atau tidak juga boleh memberi kesan pembohongan serupa. Sebab apa yang diimpikan oleh anak hanyalah 'perlindungan' sementara daripada hukuman.
Namun, terdapat dua perkara penting di sini. Pertama, anak yang berbohong besar kemungkinannya tahu mereka telah melakukan sesuatu kesalahan. Kedua, ibu bapa perlu menerima pembohongan itu kerana anak sememangnya takut berdepan dengan reaksi mereka.
Tidak hairanlah apabila teriakan bertalu-talu, sikap pemarah dan ibu bapa yang terlalu melindungi anak membuatkan mereka ketakutan. Memberi peluang untuk berkompromi dan mendengar sebelum menyalahkan anak membolehkan komunikasi dua hala berlangsung.
Tabiat
Kata orang, semakin kerap kita mempraktikkan sesuatu, semakin mudahlah ia bertukar menjadi satu tabiat. Begitu juga dengan bercakap bohong. Pembohongan berulang biasanya diperkukuhkan dengan pendekatan yang agresif. Salah satu kaedah paling efektif untuk menyelesaikan pembohongan berkala adalah memberi peluang kepada anak untuk menarik balik kata-kata bohong itu. Ini harus dilakukan tanpa rasa takut akan akibat yang bakal dihadapinya.
Meniru
Sebahagian besar anak 'terpanggil' untuk berbohong setelah melihat orang lain melakukannya. Dilema yang dihadapi oleh ibu bapa adalah mampukah mereka melindungi anak daripada berbohong. Seandainya sukar untuk ibu bapa mengawal anak daripada meniru pembohongan di luar rumah, maka buangkanlah tabiat berbohong anda terlebih dahulu. Lebih berkesan jika mereka tidak meniru tabiat berbohong di rumah dan menjadikannya tabiat.
Perlukah saya menghukum?
Terdapat beberapa perkara yang perlu ibu bapa pertimbangkan sebelum menjatuhkan hukuman ke atas kesalahan anak.
1. Hukuman sememangnya direka untuk mengurangkan perilaku yang teruk. Masalahnya, hukuman tanpa kasih sayang dan arahan yang betul adalah sia-sia. Dalam sesetengah situasi, hukuman pula menyumbang kepada tindakan melampau dan penderaan.
2. Menghukum anak atas pembohongan yang berobjektifkan ketakutan atau akibat meniru bukan satu kaedah efektif dalam jangka masa panjang. Sebaliknya, mengenal pasti punca masalah adalah lebih praktikal berbanding berdepan dengan simptom-simptomnya.
3. Hukuman patut dijadikan pilihan terakhir dan bukan dilakukan mengikut emosi. Penggunaan bahasa dan pendekatan yang lebih lembut biasanya lebih berkesan. Beritahu anak dalam nada rendah seperti, "Tahu tak, mak dan ayah rasa kecewa apabila Atan berbohong?"
Yang penting, ketahuilah niat setiap ibu bapa adalah untuk melihat anak bercakap benar. Justeru, gunakanlah pendekatan yang lebih baik agar anak belajar daripada kesilapannya.
MENDIDIK ANAK-ANAK
Apa kata tahun ini anda mencari resolusi baru untuk menjadi ibu bapa yang lebih efektif?
KITA sering mendengar resolusi tahun baru kebanyakan orang adalah untuk berhenti merokok, lebihkan senaman atau mengubah tabiat pemakanan. Apa kata tahun ini anda mencari resolusi baru untuk menjadi ibu bapa yang lebih efektif?
Mungkinkah terdapat teknik mendidik anak yang perlu anda tukar? Ataupun terdapat tabiat anak anda yang perlu diubah?
Berikut adalah sesetengah resolusi mendidik anak yang mungkin boleh dipertimbangkan.
Jadikan contoh
Kebanyakan ibu bapa tidak sedar akan pengaruh mereka terhadap anak-anak.
Anak biasanya cenderung terpengaruh dengan tabiat merokok, pengamalan diet yang tidak sihat, tidak memakai topi keledar dan sebagainya jika salah seorang daripada ibu bapa mempunyai tabiat buruk.
Ibu bapa perlu menjadi model yang baik sama ada dari segi tingkah laku mahupun kaedah pengurusan emosi.
Mendisiplinkan anak
Belajar mendisiplinkan anak secara efektif amat mustahak. Mendidik mereka kaedah bertindak balas dan mengurangkan tingkah laku yang buruk adalah salah satu contohnya.
Disiplin dan hukuman bukan perkara yang sama. Jika anda berdepan dengan masalah mendisiplinkan anak, maka jangan segan mendapatkan bantuan. Setiap kanak-kanak adalah berbeza. Teknik didikan tertentu tidak semestinya boleh diaplikasikan untuk semua anak.
Didikan adalah sebahagian besar daripada disiplin. Jika anak melenting, mengehadkannya daripada menikmati pelbagai keistimewaan mungkin satu tindakan yang wajar.
Tetapi, si anak tidak mungkin belajar atau tahu apa yang betul sehinggalah anda menunjukkan kepadanya. Luangkan masa untuk menerangkan perilaku yang betul kepada anak.
Memahami anak
Adakah anda memahami perkara yang dilakukan oleh anak? Mengapa anak kecil memandang anda dan sejurus selepas itu memukul abangnya atau melontarkan sesuatu ke atas lantai? Tidakkah dia tahu itu sesuatu yang salah?
Dia mungkin tahu tetapi tidak bermakna apa yang dilakukan itu jahat. Sebaliknya, kebanyakan kanak-kanak berada dalam kedudukan menerokai had mereka. Inilah satu proses normal dan merupakan sebahagian daripada perkembangan semula jadi. Jika anda berusaha memahami rasional anak, boleh jadi kemarahan dan reaksi anda tidaklah seteruk yang disangkakan.
Sebahagian besar ibu bapa telah mengukuhkan perilaku buruk anak tanpa disedari. Keadaan ini boleh berlaku apabila anak disalurkan dengan pelbagai perhatian negatif dan tidak konsisten. Sekiranya anda masih tidak dapat memahami mengapa anak bertindak sedemikian, maka ini mungkin bermakna teknik mendisiplinkan anak anda itu tidak berkesan.
Pemakanan sihat
Dewasa ini kebanyakan ibu bapa dilihat cenderung memanjakan anak. Malah, mereka juga terlupa meminta anak membasuh pinggan mangkuk setiap kali selepas makan. Sepatutnya, anak perlu belajar menghabiskan makanan agar tidak meninggalkan separuh daripada sajian tersebut di dalam pinggan.
Jika anda sentiasa membiarkan lebihan makanan berada dalam pinggan secara konsisten, tabiat ini akan terbawa-bawa sehingga ke alam dewasa. Untuk menyelesaikan masalah ini, anda mungkin boleh memberikan hidangan kecil kepada anak bagi melatihnya menghabiskan semua makanan. Sediakan juga pilihan makanan yang sihat seperti buah-buahan, sayuran, daging dan produk tenusu rendah lemak. Hadkan pengambilan minuman bersoda, tinggi gula dan makanan kaya lemak dalam diet pemakanan anak anda.
|
|
Aktiviti fizikal
Bilangan kanak-kanak dan anak remaja yang obes kian bertambah. Menghabiskan masa berjam-jam di depan televisyen, bermain permainan video dan komputer adalah antara puncanya. Jadi, selain pengamalan diet yang seimbang, pastikan anak diberi masa untuk melakukan aktiviti-aktiviti fizikal secara kerap untuk kekal sihat dan cergas.
Berkomunikasi secara efektif
Adakah anda tahu bagaimana berinteraksi dengan anak? Apakah yang akan anda lakukan apabila anak bermasalah? Belajar berkomunikasi dengan anak jelas merupakan satu kemahiran penting.
Sebenarnya terdapat banyak perkara yang boleh dibincangkan bersama anak. Misalnya, pendidikan seks, bahaya merokok dan penyalahgunaan dadah serta alkohol.
Sentiasa bersedia
Apakah yang akan anda lakukan pada kali pertama berdepan dengan masalah didikan anak yang spesifik? Misalnya, ketika anak bercakap bohong, mencuri atau ponteng sekolah? Anda mungkin tidak bersedia untuk setiap situasi tetapi perancangan awal mungkin dapat membantu.
Membuat perancangan awal juga boleh membantu anda berdepan dengan anak-anak yang sukar dikawal.
AMALAN NASIHAT
Dalam nasihat, ada terkandung alternatif yang perlu dipilih untuk menyelesaikan permasalahan yang timbul.
DALAM menempuh kehidupan seharian, kita tidak boleh lari daripada melakukan kesilapan. Pelbagai faktor boleh dikaitkan dalam melakukan kesilapan, mungkin kerana lupa, terlepas pandang, tidak disengajakan atau tidak mendapat maklumat yang cukup.
Oleh itu, amalan nasihat menasihati dalam kehidupan merupakan salah satu cara untuk mewujudkan keharmonian hidup. Rasulullah s.a.w menegaskan dalam sabdanya yang bermaksud: 'Agama Islam itu nasihat. Kami berkata bagi siapa wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Bagi Allah dan kitabNya (al-Quran) dan Rasul-Nya (Sunah-Nya ) dan bagi para Imam (ketua kaum Muslim), serta bagi orang ramai' - hadis riwayat Muslim.
Dalam konteks yang lebih besar, amalan nasihat menasihati merupakan tanggungjawab seorang Muslim terhadap yang lain. Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: 'Hak dan tanggungjawab seorang Muslim terhadap seorang Muslim yang lain ada enam. Jika anda bertemu maka ucapkanlah salam kepadanya dan jika anda dijemput maka hendaklah memperkenankannya, dan jika dia meminta nasihat maka nasihatilah dia dan jika dia bersin dan mengucapkan alhamdulillah maka doakanlah dia semoga dia dirahmati Allah dan jika dia sakit maka ziarahilah dan jika dia mati maka iringilah jenazahnya hingga ke kubur' - hadis riwayat Muslim. Firman Allah s.w.t yang bermaksud: 'Tugas Aku (Nuh) menyampaikan kepada kamu perintah-perintah kamu, sedang aku mengetahui melalui wahyu dari Allah akan apa yang kamu tidak mengetahui' - surah al-A'raf:62.
Amalan hidup nasihat menasihati merupakan tuntutan dan beberapa perkara berkaitan perlu diberi perhatian. Dalam memberi dan menerima nasihat, kita perlulah bersifat positif, tidak terburu-buru, tidak buruk sangka, sentiasa menyelidik dan mengelakkan diri daripada sifat dendam. Allah s.w.t mengingati dengan firmannya yang bermaksud: 'Wahai orang yang beriman, jauhilah kebanyakan sangkaan, sesungguhnya sebahagian sangkaan itu dusta' - surah al-Hujurat :12. Talhah bin Abdul Rahman bin Auf, seorang dermawan Quraisy ditegur oleh isterinya yang berkata: "Saya belum pernah jumpa teman-teman seburuk teman-temanmu.
"Kalau kita senang, semua datang menemui, sekarang bila kita susah, tiada pun mereka datang menemui kita." Jawab suaminya: "Sifat inilah yang patut dipuji, sebab mereka tidak menyusahkan kita."
Seorang ibu bapa tidak boleh tidak untuk sentiasa memberi nasihat kepada anak-anaknya. Ini merupakan satu kewajipan yang perlu dipikul dalam mendidik anak-anak. Namun apa yang tidak disukai oleh anak-anak adalah amalan sikap suka meleter yang tidak bertempat. Amalkan sikap menjadi pendengar yang teliti dan aktif. Hidupkan suasana dan naluri bertanya (dua hala) dan elakkan mencari kesalahan serta carilah perkara yang baik dan positif.
Dalam keadaan tertentu, bukan semua orang suka mendengar nasihat. Namun sifat yang baik apabila diberi nasihat, cubalah jadikan diri sebagai orang positif dalam menerima nasihat. Dalam nasihat, ada terkandung alternatif yang perlu dipilih untuk menyelesaikan permasalahan yang timbul. Apa yang penting dalam amalan nasihat menasihati ialah semangat dan amalan silaturahim hendaklah terus terjalin.
Jangan jadikan nasihat sebagai satu kritikan yang boleh menyakiti hati dan perasaan yang boleh memutuskan hubungan silaturahim. Allah s.w.t mengingatkan kita dalam firmannya yang bermaksud: 'Berpegang teguhlah kamu semua dengan tali (agama Islam) Allah dan jangan kamu bercerai berai.' - surah al-Imran:103.
TEMUI CINTA DI FACEBOOK
WEST YORKSHIRE - Pasangan warga emas, Barbara Moore, 77, dan Laurence Brocklesby, 82, menemui cinta menerusi laman sosial Facebook dan bakal meraikan perayaan Krismas sebagai suami isteri.
Moore dikatakan mula menggunakan komputer selepas suaminya meninggal dunia empat tahun lalu. Bekas jururawat pediatrik itu kemudian tertarik dengan profil Brocklesby yang menduda sejak 16 tahun lalu.
Bermula dengan meminta tip-tip mengenai berkebun daripada Brocklesby, pasangan itu akhirnya berbual dalam talian dan telefon selama beberapa jam setiap hari.
"Kami berbual tentang semua perkara. Sungguh mengagumkan bahawa kami mempunyai banyak persamaan dan lebih terbuka apabila berbual di Internet," kata Moore.
Pasangan itu juga meneliti profil gambar masing-masing di laman Facebook supaya dapat tahu apa yang ingin dijangkakan.
Selepas tiga bulan berkenalan dan mengalami patah pergelangan tangan, Brocklesby akhirnya dapat berjumpa dengan Moore.
"Barbara (Moore) menawarkan diri untuk membawa saya berjumpa doktor kerana saya tidak lagi boleh memandu akibat kecederaan itu.
"Dari situlah segalanya bermula," cerita Brocklesby yang mempunyai empat orang cucu.
Sebelum mengambil keputusan berkahwin, Moore menjemput Brocklesby untuk tinggal di rumahnya.
PENDEDAHAN RAHSIA PALING KONTROVERSI
BERBANDING sebaran berita umum atau propaganda biasa, rahsia besar yang dibocorkan sebenarnya mengundang rasa ingin tahu yang lebih mengujakan. Pendedahan maklumat sulit seringkali disambut dengan persepsi yang pelbagai dan eksploitasi situasi demi mencapai matlamat tertentu.
Perkara itulah yang dikhuatiri berlaku dan akan merubah corak perhubungan diplomatik antarabangsa apabila sebuah organisasi media baru bukan berasaskan keuntungan, WikiLeaks, bertindak mendedahkan pelbagai maklumat berprofil tinggi ke pengetahuan umum.
Organisasi yang memaparkan dokumen sulit daripada sumber yang tidak diketahui dan maklumat Internet yang dibocorkan itu sudah mula menapak di dalam talian sejak tahun 2006.
Dikendalikan syarikat The Sunshine Press, laman itu mendakwa memiliki lebih 1.2 juta data sejak setahun pelancarannya. Pertubuhan itu mendakwa diasaskan oleh para penentang politik dari China, wartawan, ahli matematik dan pakar teknologi syarikat baru dari Amerika Syarikat, Taiwan, Eropah, Australia dan Afrika Selatan.
Aktivis Internet, Julian Paul Assange, 39, yang bertindak sebagai pengasas dan ketua pengarang WikiLeaks dipercayai mula mengendalikan laman web itu dari rumahnya berdekatan dengan Universiti Melbourne, Australia.
Sejak tahun pertama WikiLeaks beroperasi, wartawan dan penerbit berkelulusan doktor falsafah dalam bidang fizik tersebut tidak lagi mempunyai kediaman tetap dan sering berpindah-randah selepas laman web ‘panas’ ciptaannya itu telah memancing perhatian global.
Ternyata WikiLeaks mempunyai agenda. Ia sengaja mahu menyuluh wajah sebenar Amerika Syarikat (AS) melalui pendedahan dokumen-dokumen berkaitan tahap pengintipan Amerika ke atas sekutunya dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Selain itu, WikiLeaks turut membuka pekung AS dengan mengetengahkan insiden pembunuhan penduduk dan wartawan Iraq oleh tentera AS. Negara yang digelar ‘Polis Dunia’ itu kini malu apabila masyarakat antarabangsa sudah mengetahui berhubung penafian ketiadaan laporan rasmi kematian orang awam.
Itu termasuk rekod yang menunjukkan bahawa 66,081 daripada 109,000 kematian di Iraq bukanlah disebabkan pertempuran.
Akhbar The Guardian yang menyiarkan kandungan WikiLeaks juga mendedahkan bahawa banyak laporan penderaan tahanan disokong bukti perubatan. Ia menggambarkan kes tahanan yang dirantai, ditutup mata, diikat pergelangan tangan atau kaki dan digantung malah dirotan, ditumbuk, ditendang atau dikenakan kejutan elektrik.
“Kerajaan AS dan beberapa pemimpin dunia lain menyifatkan pendedahan WikiLeaks tidak bertanggungjawab dan boleh membahayakan keselamatan negara masing-masing.
“Pentadbiran Presiden Barack Obama sedang mencari ruang untuk mengenakan tindakan undang-undang mengenai pembocoran maklumat WikiLeaks,” ujar Peguam Negara AS, Eric Holder yang cuba menutup kudis majikannya.
Tekanan agresif
Berikutan dimalukan, AS telah bertindak mengambil langkah agresif. Sebuah unit khas melalui Jabatan Pertahanan AS dibentuk bagi menyekat penyebaran meluas dokumen rahsia tersebut.
Tekanan mula dirasakan kumpulan operasi WikiLeaks apabila ia terpaksa memindahkan perkhidmatan hos Internetnya ke sebuah alamat baru di Switzerland selepas hos di AS ditutup.
WikiLeaks tidak mahu mengalah dan mahu kekal beroperasi. Malah, kini ia terus aktif melalui alamat barunya iaitu www.wikileaks.ch, laman web yang didaftarkan oleh sebuah parti politik Switzerland.
Sebagai tindakan susulan, Switzerland pula ditekan AS untuk mengarahkan institusi perbankan miliknya, Swiss Post, menutup akaun yang digunakan WikiLeaks bagi mendapatkan dana dan tajaan dalam talian melalui perkhidmatan PayPal.
Langkah berjaga-jaga
Sebagai langkah survival, sebuah lagi alamat Internet iaitu www.wikileaks.li telah ditempah WikiLeaks dan beroperasi dari Liechtenstein, sebuah negara Eropah kecil yang terletak di antara Switzerland dan Austria.
Selain laman web WikiLeaks menghadapi gangguan teknikal akibat serangan ‘askar’ penggodam yang diupah AS, Assange turut diugut bunuh dan yang mutakhir diburu polis atas pertuduhan mencabul dan merogol wanita.
Biarpun Assange akhirnya ditahan menggunakan Waran Tangkap Eropah pada 7 Disember lalu, pasukan WikiLeaks kini bersedia menggemparkan dunia dengan pelbagai dokumen yang diyakini bakal membawa gelombang dahsyat.
Sebagai jaminan untuk nyawa Assange, penyelenggara WikiLeaks menggesa komuniti dunia memuat turun sebuah fail bernama Insurance.
Maklumat dalam fail dengan kod rahsia itu akan disebarkan jika Assange dibunuh. Fail bersaiz hampir dua gigabit (GB) itu dikatakan menyimpan beribu-ribu dokumen rahsia AS yang boleh memalukan AS dengan negara-negara sekutunya.
Kemarahan dunia
Mengambil kesempatan ke atas kebocoran maklumat tersebut, Timbalan Menteri Luar Ecuador, Kintto Lucas berkata, negaranya sedia menerima pengasas Assange jika dia mahu tinggal di Ecuador.
Jika itu pelawaan Ecuador kepada Assange, AS kini berhadapan gelombang kemarahan daripada kerajaan-kerajaan asing yang dikritik AS dalam maklumat sulit tersebut.
Menteri Ekonomi Argentina, Amado Boudou pula mengulas, pendedahan WikiLeaks mengenai arahan Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton yang meminta diplomatnya menyiasat keadaan kesihatan dan pengambilan ubat-ubatan Presiden Argentina, Christina Kirchner adalah suatu yang tidak wajar.
Bagi bekas pemimpin Cuba, Fidel Castro, pendedahan itu adalah satu ’skandal raksasa’ manakala Perdana Menteri Pakistan, Yousuf Raza Gilani serta-merta memanggil duta AS selepas rahsia sensitif kedua-dua negara itu terbongkar.
Asange pernah dipetik sebagai berkata: “Negara yang tidak begitu telus seperti Rusia dan China adalah yang paling berpotensi menjalani pembaharuan melalui pendedahan maklumat rahsia ini.”
Mengenai kerajaan dan pasukan keselamatan China yang menyekat kebebasan bersuara, Assange mengulas, hanya kewartawanan dan penulisan sejati mampu mencetuskan perubahan dan itulah yang ditakuti pemerintah China.
Tarikan WikiLeaks
Pengarah Pusat Dasar Teknologi dan Kajian Antarabangsa (CENTEPIS), Kampus Antarabangsa Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Azmi Hassan memberitahu, selain maklumat sulit AS yang menjadi intipati utama WikiLeaks, pendedahan lenggok bahasa yang digunakan para diplomat adalah satu lagi sebab ia popular.
Katanya, gaya penulisan laporan termasuk surat rasmi dan tidak rasmi daripada diplomat AS yang tidak menggunakan bahasa diplomat boleh menjatuhkan imej negara kuasa besar dunia itu.
“Misalnya, arahan Hillary Clinton yang meminta diplomatnya menyiasat hal peribadi khususnya keadaan kesihatan Presiden Argentina dan ubat-ubatan yang diambil beliau.
“Ia kelihatan sangat remeh dan sinis. Dari segi penggunaan bahasa, saya percaya ia tidak memperlihatkan profesionalisme seorang diplomat,” kata Azmi yang menganggap rahsia sebegitu tidak wajar didedahkan kepada umum kerana ia boleh memberi impak buruk kepada pemimpin dunia, bukan sekadar Amerika Syarikat.
Azmi menambah, apabila dokumen sulit kerajaan AS yang membabitkan hal peribadi diplomat lain atau kutukan langsung terhadap individu berpengaruh didedahkan, konotasi daripadanya memberi impak hebat.
Konsep hipokrit itu, menurut beliau, bertentangan dengan bahasa perantaraan yang cermat seperti yang diuar-uarkan di pentas ceramah AS. Namun, itulah yang menjadi tarikan unik WikiLeaks.
“Semua itu memimpin pembaca dunia untuk mengetahui lebih banyak isu yang dibocorkan. Orang tertunggu-tunggu kandungan seterusnya.
“Walaupun kebanyakan isu diketahui, kemampuan Wikileaks yang membawa terus dokumen rahsia ke mata pembaca menjadikan ia semakin digemari dan malah disokong oleh sesetengah pihak,” ujar Azmi.
Isu Malaysia
Satu lagi tarikan dari aspek pembaca Malaysia adalah penglibatan nama negara ini dalam kandungan dokumen-dokumen berprofil tinggi itu.
“Malaysia juga terkena tempias berikutan isu AS pada Februari 2009 melalui pejabat kedutaannya di Beijing meminta China menyekat sebuah firma negara itu daripada menjual giroskop panduan peluru berpandu kepada Electronics Components Ltd. yang berpangkalan di Malaysia.
“Ia menggambarkan seolah-olah kerajaan Malaysia tidak melakukan apa-apa sedangkan kerajaan kita mengetahui hal itu,” katanya merujuk kepada isu Malaysia yang turut dipetik dalam WikiLeaks.
Beberapa hari lalu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) Malaysia melaporkan mempunyai maklumat mengenai dua firma Malaysia yang terlibat dengan rangkaian yang dikawal oleh Iran untuk membeli teknologi peluru berpandu dari China. Hal itu, bagaimanapun, tidak boleh diumumkan sehingga mendapat pengesahan.
Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kes itu masih baru dan KDN akan mengambil pendekatan terbaik kerana ia melibatkan keselamatan dalam negara. Antara usaha yang dijalankan adalah dengan mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak termasuk agensi-agensi perisikan luar negara yang mempunyai hubungan yang baik dengan KDN.
Jelas Azmi, pendedahan isu-isu seumpama itu boleh memberikan gambaran yang tidak selamat sungguhpun banyak maklumat Amerika dibongkar melaluinya.
Walaupun pembaca melihat maklumat daripada WikiLeaks menelanjangkan tembelang AS yang bersifat talam dua muka, ia tetap mempunyai impak terhadap persepsi orang ramai seterusnya memberi kesan negatif kepada setiap negara yang dihubung kait.
Terus melawan
Meskipun nasib Assange masih belum diketahui, termasuk selepas kegagalan cubaan menjamin oleh golongan selebriti elit, peguamnya Mark Stephens berkata, Assange akan terus menentang ekstradisi yang disifatkan sebagai pengaruh luar terhadap Sweden.
Sehingga kini, sudah lebih daripada 1,300 laman web salinan WikiLeaks diwujudkan. Kumpulan penyokong tegar WikiLeaks juga berjanji akan terus beroperasi seperti biasa dengan kerjasama pihak tertentu di London dan dari beberapa lokasi rahsia lain.
Dalam pada itu, ribuan penyokong secara terang-terangan menjalankan demonstrasi bantahan dengan menyatakan bahawa penahanan Assange adalah satu pencabulan hak asasi dan kebebasan sivil.
“Sebarang perkembangan mengenai Assange tidak akan mengubah perancangan kami untuk terus melaporkan kebenaran dan mendedahkan maklumat seterusnya.
“Serangan keterlaluan yang sedang kami hadapi sebenarnya datang daripada firma-firma yang tunduk kepada tekanan AS. Saya menyifatkannya sebagai satu konfrontasi jelas terhadap kebebasan bersuara dan kebebasan media,” ujar jurucakap WikiLeaks, Kristinn Hrafnsson.
Label: kontroversi
TAKWIM ISLAM
APABILA dilontarkan soalan mengenai urutan nama-nama bulan Islam kepada 10 anak muda kini, tidak mustahil sembilan daripada mereka terdiam atau tergagap-gagap menyebut satu demi satu bulan Islam.
Sementara yang seorang lagi pun, mungkin berjaya menamakan bulan-bulan Islam selepas menyanyi perlahan sebuah lagu bertajuk Bulan-bulan Islam nyanyian kumpulan nasyid Alarm Me yang pernah dihafalnya ketika di bangku sekolah.
Bagi kebanyakan anak muda, mereka sekadar tahu nama bulan-bulan tertentu yang melibatkan perayaan seperti bulan Ramadan, Syawal, Muharam dan Zulhijjah.
Senario sebegitu adalah gambaran umum mengenai betapa jauhnya takwim Islam di hati anak-anak muda kini berbanding takwim Masihi yang kita gunakan setiap hari.
Jika ada antara kita yang menghafal bulan-bulan Islam sekali pun, mungkin ada segelintirnya yang tidak tahu mengenai sejarah takwim Islam itu sendiri.
Bila ia bermula dan siapa yang mencetuskan takwim tersebut?
Hijrah Rasulullah
Menurut Ketua Penolong Pengarah Cawangan Falak, Bahagian Penerangan dan Penyelidikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Che Alias Che Ismail, kalendar Islam ataupun takwim Hijrah dimulakan oleh Khalifah Ar-Rasyidin yang kedua iaitu Saidina Umar al-Khattab.
Peristiwa hijrah Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah telah dijadikan asas kepada penetapan permulaan sambutan Maal Hijrah, kalendar Islam ataupun takwim Hijrah.
Asas pembinaan takwim Islam sebenarnya telah digambarkan di dalam al-Quran iaitu Surah Yunus Ayat 5 yang bermaksud:
‘Dialah yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang benderang) dan bulan bercahaya, dan Dialah yang menentukan perjalanan tiap-tiap satu itu (berpindah-pindah) pada tempat peredarannya (masing-masing) supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa.
‘Allah tidak menjadikan semuanya itu melainkan dengan adanya faedah dan gunanya yang sebenar. Allah menjelaskan ayat-Nya (tanda-tanda kebesaran-Nya) satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui hikmat sesuatu yang dijadikan-Nya.'
“Sebelum dilaksanakan penetapan takwim Hijrah ini dan semasa hayat Rasulullah SAW, takwim yang digunakan ialah sistem takwim Qamariyah (sistem hitungan bulan).
“Penentuan tahun pula dirujuk kepada tahun berlakunya sesuatu peristiwa atau kejadian seperti tahun gajah, peperangan al-Fijar, tarikh pembinaan Kaabah dan sebagainya. Cara penetapan sedemikian tidak boleh dijadikan pegangan kerana catatannya tidak menggunakan kaedah yang tetap dan seragam,” jelasnya.
Tambah Che Alias, segalanya bermula pada tahun 17 Hijrah iaitu tahun keenam selepas kewafatan Rasulullah SAW. Saidina Umar al-Khattab bersetuju dengan cadangan Saidina Ali Abi Talib supaya menjadikan tahun Rasulullah SAW berhijrah sebagai tahun pertama bagi takwim Hijrah.
Saidina Uthman Affan pula mencadangkan supaya bulan Muharam adalah bulan pertama dalam sistem takwim Hijrah walaupun tarikh sebenar Rasulullah berhijrah adalah pada akhir bulan Safar dan tiba di Madinah pada hari Jumaat 12 Rabiul Awal bersamaan 24 September 622 Masihi.
Bermula daripada peristiwa tersebut, umat Islam dengan rasminya mempunyai satu sistem kalendar tersendiri yang dinamakan takwim Hijrah.
Perbezaan
|
|
Perhitungan takwim Qamariah adalah berdasarkan peredaran bulan mengelilingi bumi yang setiap pusingan mengambil masa selama 29.53059 hari dalam hitungan falak. Ini berbeza dengan perkiraan takwim Syamsiyah yang merujuk kepada kedudukan dan pergerakan matahari.
Firman Allah dalam Surah al-Kahfi Ayat 250 bermaksud: ‘Dan mereka tinggal dalam gua mereka selama 300 tahun dan (sebahagian) manusia menambah sembilan (tahun kepadanya)’.
“Mengikut perkiraan ilmu falak, ayat tersebut menunjukkan bahawa 300 tahun bagi tahun Masihi (Syamsiyah) adalah menyamai 309 tahun Qamariah atau tahun Hijrah yang digunakan sebagai takwim Islam sekarang.
“Ini terbukti melalui kiraan jumlah hari yang berkitar 29-30 hari bagi satu pusingan pergerakan bulan mengelilingi bumi (satu kitaran), bersamaan dengan satu tahun mempunyai 354 hari iaitu 11 hari kurang dari tahun Syamsiyah iaitu kalendar Masihi yang berjumlah 365 hari atau 366 pada tahun lompat,” jelasnya.
Tambahnya, takwim Hijrah telah diambil kira pemakaiannya semenjak tahun 622 Masihi yang dikuatkuasakan penggunaannya pada zaman Khalifah Saidina Umar al-Khattab hingga kini.
Sementara itu, walaupun takwim Syamsiyah (Masihi) telah diperkenalkan pada zaman pemerintahan kerajaan Rom (kalendar Julian), namun kalendar yang diguna pakai sekarang adalah takwim yang diperkenalkan oleh Pope Gregory XIII (kalendar Gregorian) pada tahun 1582 Masehi.
Menyentuh mengenai keistimewaan takwim Islam, Che Alias memberitahu, ia menjadi panduan kepada umat Islam bagi hari dan bulan ibadat, contohnya penetapan awal Ramadan, Syawal dan Zulhijjah.
“Takwim Islam juga penting dari segi sejarah terutamanya bagi memperingati berlakunya peristiwa besar Islam seperti Nuzul al-Quran, Israk Mikraj, Maulidur Rasul, Maal Hijrah dan amalan-amalan yang lain.
“Takwim Islam dapat melenyapkan era takwim zaman jahiliah dalam setiap aspek kehidupan umat Islam sama ada dari segi akidah, syariah, muamalah dan akhlak,” katanya.
Jelas Che Alias, pada akhir tahun bagi takwim Hijrah iaitu akhir bulan Zulhijjah, umat Islam digalakkan berdoa (doa akhir tahun) sementara menunggu masuknya awal Muharam yang ditetapkan sebagai awal tahun Hijrah yang baru.
Umat Islam juga digalakkan membaca doa awal tahun bagi memohon keampunan dan keberkatan daripada Allah SWT.
Tarikh global
Dalam pada itu, Penyandang Kursi Syeikh Abdullah Fahim, Institut Islam Hadhari Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr. Ismail Ibrahim memberitahu, senario ramai anak muda tidak mengetahui bulan-bulan Islam berlaku kerana kita sudah mewarisi penggunaan kalendar Masihi yang menjadi satu amalan penggunaan tarikh global.
“Tidak menjadi satu kesalahan untuk mengamalkannya kerana semua masyarakat antarabangsa menggunakan tarikh yang sama. Walaupun kini mereka hanya mengingati peristiwa atau hari-hari kebesaran Islam tertentu, itu sudah cukup baik.
“Kita bersyukur kerana negara kita mementingkan penggunaan tahun hijrah dari sudut cuti umum seperti satu Muharam, 12 Rabiul Awal, awal Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Tambahnya, bagi meningkatkan kesedaran, pengetahuan mengenai bulan-bulan Islam ini perlu diterapkan pada peringkat pendidikan anak-anak, bermula di peringkat rendah, menengah dan seterusnya ke peringkat tinggi.
“Kini sudah banyak yang menggunakan tarikh-tarikh hijrah sebagai contoh di akhbar-akhbar dan di dalam takwim-takwim yang sedia ada.
“Walaupun sambutan tahun baru Hijrah tidak semeriah tahun baru Masihi, ini tidak bermakna mereka tidak mengenali tahun Hijrah.
“Kita lihat tahun baru Masihi lebih meriah diraikan kerana budaya dan amalan masyarakat berbilang kaum di negara ini mengikut cara sambutannya di seluruh dunia,” ujar Ismail.
Berbeza pengisian
Cara meraikan sambutan tahun baru Islam juga berbeza pengisiannya berbanding tahun baru Masihi yang sinonim dengan pelbagai jenis hiburan yang melalaikan.
“Sebagai mengimbanginya, kita juga meraikan tahun baru Masihi dengan cara mengadakan forum-forum dan acara-acara keagamaan bagi mengingati syiar Islam dan kebesaran Allah.
“Selain itu, sambutan Maal Hijrah juga disambut meriah dengan pelbagai program seperti perarakan, perjumpaan Maal Hijrah di negeri-negeri seluruh negara, pengurniaan Tokoh Maal Hijrah dan sebagainya,” katanya.
Ismail menyarankan, cara terbaik untuk menimbulkan kesedaran mengenai bulan-bulan Islam adalah mengaitkannya dengan peristiwa yang berlaku dalam keluarga seperti pertunangan, perkahwinan, kelahiran dan sebagainya.
Di sekolah pula, takwim Islam mungkin boleh disertakan dengan tahun Masihi bagi mendedahkan generasi muda mengenai takwim Islam.
Selain itu katanya, kalendar-kalendar sepatutnya disertakan dengan tarikh-tarikh Islam kerana di Malaysia takwim Islam sudah ditetapkan sepanjang tahun.
PEMILIHAN MAKANAN YANG SIHAT
DI Malaysia, terdapat pelbagai hidangan enak yang muncul daripada pelbagai bangsa dan budaya.
Namun, tanpa disedari makanan yang enak itu boleh menjadi racun yang menghakis sel-sel penting yang menjadi pelindung di dalam badan sekiranya diambil dalam kuantiti yang berlebihan.
Menurut seorang pakar pemakanan, Gary Lee, rakyat di negara ini terlalu gemar dengan makanan sebegitu sehingga ia memudaratkan sistem badan mereka.
“Antara punca perkara ini berlaku kerana terdapat pelbagai makanan segera di pasaran yang menarik minat orang ramai,” katanya.
Beliau berkata, ada antara mereka yang tidak begitu bijak membuat perancangan pemakanan sehingga menyebabkan ramai rakyat Malaysia menghidap penyakit kronik seperti diabetes dan kardiovaskular.
“Statistik yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 2006 menunjukkan penyakit jantung dan strok menjadi 20 peratus punca kematian penduduk di negara ini,” katanya.
Menurut Lee, disebabkan kecanggihan teknologi makanan, sesuatu produk makanan dapat dihasilkan dalam masa yang singkat.
Lee yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dari sebuah universiti tempatan mengambil contoh tumbesaran ayam kampung yang lazimnya mengambil masa sekurang-kurangnya enam bulan.
|
|
“Pada satu seminar yang pernah saya hadiri, saya agak terkejut kerana penternak ayam memberitahu bahawa seekor ayam kampung kini hanya memerlukan tempoh dua minggu sebelum boleh disembelih.
“Sedar atau tidak, badan kita sebenarnya turut disuntik hormon yang disuntik oleh para petani, apabila kita makan ayam yang telah disuntik hormon berkenaan,” katanya.
Khasiat makanan
Lee yang pernah mengendalikan lebih daripada 500 ceramah pemakanan di beberapa buah negara seperti China, Oman dan Indonesia berkata, pengguna di Malaysia juga tidak sedar bahawa khasiat sesuatu makanan akan berkurangan apabila makanan terlampau diproses kerana banyak bahan kimia dimasukkan ke dalam bahan makanan tersebut.
Apakah punca berlakunya peningkatan kematian akibat penyakit kronik? Lee menjelaskan, terdapat beberapa perkara yang perlu diambil kira termasuk tabiat pemakanan yang tidak seimbang.
“Pilihan makanan yang tidak betul dan kuantiti pengambilan makanan yang tidak seimbang menjadi sebab kita mengalami penyakit sebegini. Makanan yang perlu dikurangkan, kita perbanyakkan dan makanan yang perlu diperbanyakkan, kita kurangkan,” katanya.
Lee menambah kata, gaya hidup yang tidak aktif seperti kurang melakukan senaman dan tekanan juga menjadi faktor penyebab berlakunya serangan penyakit kronik.
Masyarakat di negara ini juga kata Lee kurang menitikberatkan amalan pemakanan yang seimbang.
Pemakanan seimbang semata-mata tidak dapat memberikan kekuatan badan kita untuk bekerja tetapi ia perlu disertai dengan makanan tambahan seperti vitamin dan sebagainya.
Makanan tambahan bukan sahaja menjadi penyumbang tenaga pada masa yang sama turut menjadi bahan untuk mengurangkan beban antioksidan yang ditanggung oleh badan.
Bagaimanapun, bukan semua makanan tambahan menawarkan keberkesanan kerana sesetengah produk dikeluarkan hanya bertujuan mengaut keuntungan semata-mata.
“Produk makanan tambahan yang menawarkan keberkesanan boleh dilihat melalui kajian saintifik syarikat berkenaan. Selain itu, ia juga berdasarkan komposisi dan kandungannya,” kata Lee.
Lee berkata, sebahagian besar rakyat Malaysia mengabaikan senaman atas alasan sibuk dengan kerjaya.
Katanya, badan perlu bekerja dengan mengeluarkan peluh atau membuang lebihan lemak.
“Ramai rakyat di negara kita sering bertanya mengapa mereka masih tidak kurus selepas mengamalkan senaman?
“Puncanya ialah konsistensi. Rakyat di negara ini tidak seharusnya terikat dengan jadual bersenam sebaliknya mempunyai azam untuk terus bersenam,” katanya.
Sebagai contoh, dalam sehari kita perlu menetapkan berjoging selama setengah jam sehari. Bagaimanapun, kita bersenam bukan hendak kurus semata-mata tetapi untuk memastikan tubuh kita sentiasa sihat.
Tasik dunia semakin panas
KAJIAN Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) mendapati tasik-tasik yang dingin di dunia kini mengalami peningkatan suhu pada kadar lebih cepat berbanding suhu udara.
Dua saintis NASA telah menggunakan data satelit untuk memantau sejumlah 104 buah tasik di seluruh dunia. Secara purata, mereka mendapati bahawa suhu tasik-tasik tersebut telah meningkat sebanyak 1.1 darjah Celsius sejak tahun 1985.
Kadar itu meningkat dua setengah kali ganda berbanding suhu global dalam tempoh masa yang sama.
Tasik Ladoga, Rusia dan Tasik Tahoe di Amerika Syarikat (AS) menunjukkan peningkatan suhu pemanasan yang paling ketara, kata pengarang bersama kajian, Simon Hook yang merupakan saintis di Makmal Jet Propulsion, Pasadena, California, AS.
Tasik Tahoe mengalami peningkatan pemanasan suhu sehingga 1.7 darjah Celsius sejak tahun 1985 manakala Tasik Ladoga meningkat paling tinggi iaitu sehingga 2.2 darjah Celsius.
Kajian mengenai peningkatan suhu tasik tersebut telah disiarkan dalam jurnal Geophysical Research Letters baru-baru ini.
Hook dan rakan sejawatnya menggunakan beberapa satelit dan melihat imej-imej inframerah terma tasik-tasik ketika musim sejuk dan musim panas.
Mereka turut mengesahkan perangkaan tersebut dengan membandingkannya bersama data terkumpul.
"Ia bertepatan dengan apa yang kami lihat melalui ukuran-ukuran suhu udara," kata Hook.
Para pengkaji mengakui bahawa mereka agak terkejut apabila mengetahui sesetengah tasik menunjukkan bacaan peningkatan pemanasan yang lebih tinggi berbanding suhu udara.
"Persoalan seterusnya adalah mengapa tasik-tasik itu bertambah panas dengan lebih pantas berbanding udara ataupun tanah," kata Hook.
Salah satu sebab keadaan itu terjadi adalah kerana air tasik mengambil masa lebih lama untuk sejuk berbanding tanah.
Saintis iklim NASA, Gavin Schmidt mengakui hasil penyelidikan yang dilakukan itu boleh diterima akal.
Jelasnya, hasil maklumat yang diperoleh daripada kajian itu menambah satu lagi sistem penyukatan bebas bagi mengesahkan isu pemanasan global.
Secara statistik, sebanyak 11 penunjuk berbeza digunakan termasuk suhu udara, kelembapan, litupan salji, kandungan haba lautan menunjukkan pemanasan global buatan manusia manakala tiada ukuran alam sekitar menunjukkan sebaliknya, kata Pentadbiran Hidupan Lautan dan Atmosfera Kebangsaan.
Secara purata di seluruh dunia, sebanyak 41 tasik mengalami peningkatan suhu secara ketara, 59 lagi mengalami kenaikan tetapi masih belum jelas kesannya sementara hanya empat tasik yang menunjukkan penurunan suhu.
TAMAN NEGARA PAHANG
TATKALA pemanduan memasuki pintu masuk Taman Negara Pahang (TNP) Merapoh, jangkaan mengenai jisim hutan yang berusia lebih 130 juta tahun ini mungkin meleset.
Bagi mereka yang tidak pernah mengunjunginya, TNP ibarat sebuah lukisan yang tidak dapat dilihat isi kandungannya. Aktiviti rekreasi yang dirancang pengunjung pasti akan jauh lebih menarik daripada jangkaan dan imaginasi.
Kepelbagaian dan nilai flora serta fauna yang terdapat di TNP begitu tinggi berbanding pengetahuan yang dimiliki sesiapa pun. TNP yang memiliki kekayaan mega diversiti menampung kira-kira 14,000 spesies tumbuhan, 200 spesies mamalia, 480 spesies burung dan 80 spesies kelawar. Itu hanyalah jumlah yang direkodkan setakat ini.
Menurut Penguasa TNP, Abdul Kadir Abu Hashim, lima spesies utama yang dilindungi di bawah program konservasi Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) ialah gajah, harimau, tapir, badak dan seladang.
“Taman Negara Pahang menjadi salah satu daripada 24 rizab hidupan liar di seluruh Semenanjung Malaysia,” jelas beliau.
Aktiviti konservasi yang terbabit termasuklah membina laluan hidupan liar bagi mengelakkan pertembungan dengan laluan manusia sehingga mengakibatkan kematian.
“Jabatan kami turut membina terowong untuk laluan hidupan liar seperti gajah di bawah lintasan trek kenderaan bagi mengelakkan kemalangan.
“Perancangan untuk membina laluan untuk hidupan liar dengan menyambungkan Taman Negara dengan Banjaran Titiwangsa juga sedang disusun bagi membolehkan hidupan liar di kedua-dua kawasan bertemu dan membiak,” katanya pada program Kembara Bersama Media Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) di TNP baru-baru ini.
|
|
Selain itu katanya, aktiviti pemburuan haram turut disekat terutama membabitkan hidupan liar yang diancam kepupusan. Hidupan liar seperti harimau yang bernilai ratusan ribu ringgit seekor menerima ancaman hebat untuk tujuan perdagangan haram.
“Jabatan menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan bagi menyekat aktiviti haram di dalam Taman Negara Pahang termasuk membabitkan kehadiran pendatang asing tanpa izin,” jelas beliau.
Sementara itu, aktiviti program Kembara Bersama Media dan NRE berpeluang menyelusuri khazanah TNP melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan.
Program dua hari berkenaan membawa rombongan kira-kira 35 orang peserta dalam kalangan media dan kakitangan NRE merentasi hutan, melawat santuari ikan kelah, menyertai aktiviti tubing dan safari malam.
Kenal spesies
Bagi mereka yang tidak berkemampuan mendaki gunung, aktiviti berjalan di hutan melalui rentis-rentis atau laluan khas yang disediakan merupakan salah satu cara mengenali spesies tumbuh-tumbuhan yang telah ditandakan dengan lebih dekat.
Antara rentis-rentis yang ada ialah Rentis Interpretif, Rentis Palas, Rentis Gua Gajah, Rentis Gua Peningat, Rentis Bumbun Rimau dan Rentis Berkenu.
Dalam kembara berkenaan, para peserta dibawa melalui Rentis Palas yang menjadi laluan pelbagai hidupan liar dan yang paling kerap ditemui ialah spesies gajah.
Menurut renjer TNP, Mohd. Asrul Ardullah, kehadiran haiwan liar dapat dikesan melalui tinggalan tapak kaki, najis dan kubang. Tanda tinggalan yang dapat dilihat dengan jelas sepanjang Rentis Palas ialah tapak kaki gajah.
Kewujudan haiwan liar juga dapat dikesan melalui kamera khas yang dipasang pada batang pokok. Tujuan pemasangan kamera bukan sahaja untuk mengenal pasti spesies-spesies di hutan berkenaan tetapi juga bagi tujuan bancian dan kajian.
“Kamera yang dipasang akan mengambil gambar secara automatik apabila terdapat objek melaluinya, termasuk manusia dan kenderaan,” jelasnya.
Tambah Asrul, selain memahami tabiat hidupan liar, pengunjung juga berpeluang mendekati spesies pokok-pokok yang hidup meliar. Setiap satunya mempunyai nilai yang tinggi di pasaran seperti tongkat ali dan gaharu.
“Pokok gaharu mengeluarkan bau yang wangi apabila dibakar dan mempunyai nilai yang tinggi untuk dijadikan minyak gaharu yang berharga ribuan ringgit bagi setiap kilogram, bergantung kepada grednya,” katanya.
Spesies pokok lain yang ditemui di situ ialah meranti kepong, rambutan hutan, palas, keruing mempelas, penaga lilin, bintangor lekok, nyatoh sidang, tongkat ali, gaharu, bekak, minyak beruk, keruing gombang, mata ketam dan ara pencekik.
Santuari ikan sensitif
Santuari ikan kelah yang terletak di Lubuk Tenor, Kuala Tahan dan Kuala Juram, Merapoh adalah sebahagian tempat menarik yang dilawati. Ia merupakan kawasan peliharaan ikan kelah dan dilindungi daripada aktiviti penangkapan ikan.
Pemuliharaan ikan kelah adalah supaya ia terus wujud di habitat asalnya. Ia menjadi kegilaan kaki pancing kerana kerakusannya merembat umpan pada mata pancing dan berharga tinggi di pasaran.
Di santuari itu, para peserta dibenarkan memberi ikan makan dengan tangan. Ikan-ikan berkenaan sangat jinak dengan manusia dan akan berkumpul apabila makanan ditaburkan di permukaan sungai.
Menurut kakitangan santuari berkenaan, ikan-ikan kelah yang terdapat di situ akan datang apabila loceng dibunyikan, menandakan waktu makan sudah tiba serta tidak akan lari apabila berada di dalam kumpulan manusia yang ramai.
Keadaan air sungai yang jernih memudahkan kelah dilihat walaupun ia dikategorikan sebagai spesies ikan yang sensitif. Namun, ikan kelah di santuari itu agak jinak dengan pengunjung.
“Pengunjung dapat memegang ikan kelah yang berenang dengan laju melawan arus untuk mendapatkan makanan yang ditaburkan.
“Selain itu, aktiviti berenang dan mandi bersama ikan kelah juga dibenarkan. Ikan-ikan yang ditangkap menggunakan tangan mestilah dilepaskan semula,” katanya.
Dalam pada itu, ikan kelah yang mendapat jolokan Raja Sungai mempunyai isi yang enak sehingga sisiknya boleh digoreng dan dimakan seperti keropok menyebabkan harga bagi sekilogram kelah boleh mencapai ribuan ringgit.
Safari malam
Tidak seperti pengalaman di zoo, peluang untuk melihat haiwan liar secara dekat merupakan pengalaman yang sangat berharga kerana hanya mereka yang bernasib baik sahaja dapat bertembung dengan haiwan-haiwan liar berkenaan.
Pengalaman itu sekali gus mengujakan peserta program kembara tersebut meskipun peluang menemui haiwan yang diancam kepupusan seperti gajah dan harimau sangat tipis.
Dalam lawatan sekitar pukul 11 malam itu, para peserta menaiki pacuan empat roda merentasi laluan safari malam untuk melihat flora dan fauna dalam suasana berbeza.
Perasaan takut bertukar seronok apabila para peserta berjaya melihat kelibat burung hantu dan kucing batu. Bagaimanapun, haiwan berkenaan beredar dengan segera apabila menyedari kehadiran manusia dan lampu suluh.
Menurut renjer yang terbabit, haiwan liar sensitif dengan cahaya lampu kenderaan menyebabkan peluang melihat haiwan liar agak tipis.
“Haiwan liar akan beredar apabila disuluh dengan lampu atau apabila mereka berasa terancam,” katanya pada perjalanan yang mengambil masa kira-kira sejam setengah itu.
Sememangnya program kembara ini adalah antara cara terbaik buat para peserta mendekati elemen biologi seterusnya memahami sistem ekologi belantara dan tabiat ‘penghuninya’.
Apabila manusia semakin menghargai komponen sains kehidupan tersebut, keseimbangan boleh wujud antara ruang ciptaan manusia dan juga alam semula jadi yang menjadi khazanah negara.
BUASIR ATAU KANSER
BUASIR merupakan masalah biasa masyarakat moden kini. Dikatakan separuh daripada jumlah populasi berhadapan dengan masalah ini.
Buasir merupakan kusyen vaskular yang bertindak sebagai penghadang setiap kali membuang air besar.
Ia akan menutup dubur secara menyeluruh dengan lembut bagi mengelakkan kebocoran najis ataupun cecair.
Ia merupakan komponen normal dalam anatomi manusia.
Masalah timbul apabila berlaku pembengkakan pada kusyen vaskular akibat tekanan atau stres yang diberikan pada rektum berikutan aktiviti meneran.
Keadaan ini akan mengakibatkan pesakit berasa kurang selesa.
Faktor yang menyebabkan buasir atau hemoroid membengkak masih tidak jelas dan berbeza mengikut pesakit.
Bagaimanapun, tidak dinafikan bahawa ia berpunca daripada peneranan melampau ketika membuang air besar, pemakanan yang tidak sihat, kurang bersenam, faktor usia yang melemahkan tisu dan semasa mengandung ekoran perubahan hormon.
Sakit
Simptom utama penghidap buasir adalah pendarahan pada hujung proses membuang air besar yang boleh dilihat pada najis, kadangkala menitik dan juga ketika mencuci.
Selain itu, pesakit akan merasakan terdapat lebihan isi atau kulit yang tersembul di luar lubang dubur yang mendatangkan rasa kurang selesa, gatal dan sakit. Tetapi tidak semua pesakit buasir akan berasa sakit.
Menurut Pakar Bedah Kolorektal, Pusat Perubatan Prince Court, Prof. Dr. Yunus Gul Alif Gul, ramai pesakit yang tidak mengendahkan untuk mendapat rawatan.
“Apa yang membimbangkan adalah simptom buasir menyamai simptom kanser kolorektal atau gabungan kolon dan rektum iaitu pendarahan.
“Namun, pendarahan bagi pesakit kanser kebiasaannya keluar bersama najis dan kadangkala diselangi dengan lendir,” katanya.
Oleh itu, bagi mereka yang mempunyai masalah pendarahan ketika membuang air besar, seelok-eloknya berjumpa doktor bagi menentukan masalah sebenar.
Apabila pesakit sudah mendapat diagnosis buasir, doktor akan memberi nasihat supaya menukar diet dan juga gaya hidup seperti tidak terlalu meneran semasa membuang air besar, mengurangkan pengambilan daging merah, memperbanyakkan pengambilan serat dan buah-buahan serta minum banyak air.
Bagaimanapun, menurut Yunus, gaya hidup masyarakat kini seperti pelajar di asrama dan suami isteri yang bekerja cenderung membeli makanan di luar.
“Pengambilan makanan segera ataupun makanan yang telah diproses juga boleh mendatangkan kemudaratan.
“Seeloknya pastikan makanan yang hendak dibeli itu segar dan berkhasiat.
“Mereka yang gemar membaca di dalam bilik air juga boleh mendapat buasir kerana mereka berada dalam kedudukan duduk atau mencangkung yang secara tidak langsung melibatkan peneranan walaupun proses pembuangan najis telah selesai.
“Ia secara tidak langsung memberikan tekanan pada rektum menyebabkan tisu-tisu yang menyokong menjadi lemah,” ujarnya.
Ramai pesakit memilih perubatan tradisional bagi mengubati buasir ekoran malu berjumpa doktor dan takut menjalani pembedahan.
Ramai yang lebih suka untuk bertanya kepada rakan-rakan, ahli farmasi ataupun pengamal perubatan tradisional mengenai ubat-ubatan yang sesuai berbanding mendapat rundingan doktor.
Alternatif
Yunus memberitahu, tiada salahnya bagi pesakit untuk mencuba perubatan tradisional seperti pengambilan herba asalkan mereka tahu penyakit mereka berada di tahap mana.
“Jika buasir berada di tahap satu atau dua, tiada salahnya mereka mencuba perubatan alternatif kerana tahap ini boleh diubati dengan pengambilan ubat sahaja.
|
|
“Namun, jika sudah kritikal, mereka tiada pilihan kecuali melakukan pembedahan membuang buasir tersebut,” katanya.
Mungkin ramai yang memilih perubatan alternatif kerana takut menjalani pembedahan yang dikatakan amat menyakitkan.
Bagaimanapun, teknologi baru membolehkan pembedahan dilakukan tanpa kesakitan melampau dan pulih dalam masa yang sangat singkat.
Ini termasuk ligasi pita getah menggunakan satu atau dua pita getah yang kecil yang akan diikat di sekitar dasar buasir dalaman untuk menghentikan pengedaran darah.
Dalam masa beberapa hari, buasir itu akan tertanggal sendiri tanpa rasa sakit.
Kaedah Ligasi Arteri Buasir (HAL) pula menggunakan alat ultrabunyi Doppler yang dimasukkan ke dalam anus untuk mengenal pasti lokasi sebenar arteri yang membekalkan darah.
Oleh kerana jahitan tidak dilakukan di dalam anus sebaliknya di hujung rektum, ia mengurangkan kesakitan.
Manakala Longo atau Procedure for Prolapse and Haemorrhoids (PPH) merupakan antara kaedah terbaru yang menggunakan sejenis alat seperti stapler.
Prosedur ini mengambil masa hanya 20 minit dan tiada luka yang perlu dirawat selepas prosedur dijalankan.
Jumaat, 10 Disember 2010
Agak lama ummi tak entry,tp ade citer jg nak ummi kongsi,yg mana mggu lepas ummi d hubby baru je beli tanah kebun baru,dlm ni pun ada byk pokok2 buah tp utk kebun baru, kami cadang nak tanam pokok getah d pokok koko baka berkualiti walaupun tanah kebun sebelum ni dah byk pokok2 koko d durian.Alhamdulillah,syukur inilah rezeki anak2. Mggu ni saja dah byk kerja selesai,walaupun sekrg ni musim tengkujuh.Sebhagiannya, jln nak ke kebun getah dah nak diratakan,supaya nnti senang jeep nak masuk utk pungut bunga kantan walaupun tak seberapa,pasal sebelum ni nak ke kebun getah dan ambil kantan terpaksa dilakukan dng motosikal je....jln akan dibuat sampai ke tempat tanaman kantan terus.Sementara itu kolam ikan nak dikorek berserta pondok kecil untk tempat berehat dah diuruskan dgn tukang rumah di kg tu.Insyallah kalau tak ada aral melintang,mgkn bulan 1 thn depan kerja pembinaan diteruskan.Mmg dah lama hubby cakap pd ummi,dia nak buat kolam pasal nnti,dah bela ikan boleh jg bela itik, saja2 bela nak mkn kami family je,tp kalau ada nnti yg nak beli pun ummi tak kesah.....Kebetulan, rezeki hubby yg dah agak lama d dah puas dahpun bertanya jentolak pengorek utk masuk kat kebun,satu pun tak berani, pasal tanah nak kesana mmg susah kenderaan berat nak masuk...,maklumlah tanak berbukit2,jd ada satu jentolak pengorek kecil ni dah ada kat dlm kebetulan pula sekrg ni,sedang ratakan tanah utk ke ladang kelapa sawit org kg tu.....Utk satu hari upah sewa tuan punya jentolak rm450.00,kemungkin dalm kebun kami kira2 seminggu.Baru skrg dah dapt apa yg hubby rancangkan ,bukan main senang hati ummi tengok wajah hubby....gembiranya tu jelas terpancar....syukurlah dgn apa yg dingini tercapai akhirnya.Kawan2 ummi harap doa2kan lah untk ummi d family semoga dimurahkan rezeki sentiasa..........