BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS
Photobucket

tolong klik klik heartbeat ummi nie k.tq

Rabu, 20 Oktober 2010

PENYUSUAN SUSU IBU

Mengapa Bayi Anda Harus Diberi Susu Ibu?
Susu ibu mengandungi segala khasiat yang diperlukan oleh bayi. Malah susu ibu juga merupakan imunisasi yang pertama untuk seseorang bayi, mudah dicerna dan sentiasa boleh diperolehi dengan suhu yang sesuai pada bila-bila masa.
Penyusuan ibu pada bulan-bulan awal selepas kelahiran boleh membantu pertumbuhan dan perkembangan kecerdasan seseorang bayi.
Dengan menyusui bayi, ibu juga akan mendapat beberapa kebaikan. Penyusuan ibu dapat menjalinkan perhubungan rapat antara ibu dan anak. Ia juga membantu mengecutkan rahim ibu kepada saiz asal yang lebih cepat. Ramai ibu juga kembali kepada berat dan bentuk asal dengan lebih mudah. Anda juga boleh menghindari penyakit barah buah dada dan barah ovari. Penyusuan dengan susu ibu dapat menjimatkan masa dan belanja.
Bolehkan Semua Wanita Menyusui Bayi?
Hampir semua wanita boleh menyusui bayi. Ukuran buah dada tidak boleh dijadikan ukuran sebanyak mana susu akan dihasilkan.
Kekerapan bayi menghisap akan merangsang lagi penghasilan susu ibu yang banyak. Masalah puting buah dada yang leper atau tenggelam boleh diatasi semasa hamil dengan mendapatkan nasihat doktor atau jururawat.
Untuk menampung buah dada semasa hamil, baju dalam yang berukuran satu saiz lebih besar daripada biasa adalah diperlukan.
Pada bulan-bulan akhir kehamilan, elakkan daripada mencuci buah dada dengan menggunakan sabun atau bahan-bahan lain yang boleh mengeringkannya. Gunakan air biasa sahaja.
Pastikan buah dada diperiksa oleh doktor pada awal kehamilan untuk memastikan puting buah dada tidak tenggelam dan tidak mengalami masalah-masalah lain.
Pada bulan-bulan akhir anda harus belajar teknik dan cara memerah susu. Ini akan membantu anda selepas kelahiran bayi anda.
Selepas Melahirkan Bayi
Pengalaman menyusui bayi yang baru lahir adalah sesuatu yaang membanggakan seseorang ibu.
Bayi yang baru lahir mempunyai naluri hisapan yang kuat. Jadi, susuilah bayi sebaik sahaja dilahirkan dan pada bila-bila masa bayi kelihatan lapar. Jika bayi tidur lebih 3 jam, kejutkan dia dan galakkan ia menyusu.
Pada masa-masa awal selepas kelahiran, bayi hanya perlu menghisap susu ibu untuk tempoh beberapa minit sahaja. Berikan bayi menyusu lebih lama jika ia ingin terus menghisap. Keperluan seseorang ibu dan bayi yang dilahirkan adalah berbeza dengan ibu dan bayi yang lain.
Pada peringkat awal selepas melahirkan bayi, susu ibu tidaklah banyak tetapi pekat dan berwarna kekuningan. Susu ini dinamakan kolostrum dan kaya dengan protein serta antibodi yang boleh melindungi bayi dari penyakit. Kolostrum ini sudah cukup untuk mengenyangkan bayi anda. Bayi tidak perlu diberi susu botol ataupun air.
Penyusuan yang sekejap tetapi kerap akan mengelakkan buah dada daripada menjadi bengkak. Ini akan menambahkan lagi penghasilan susu ibu. Jika buah dada anda terasa kepenuhan atau bengkak, anda harus terus menyusukan bayi dengan lebih kerap lagi. Biasanya rasa kepenuhan ini akan dirasa dalam masa 2 - 3 hari sahaja.
Petua Untuk Ibu-Ibu
Amalan Positif:-
  1. Dapatkan maklumat-maklumat berguna mengenai penyusuan ibu semasa hamil.
  2. Yakinkan diri yang susu anda mencukupi untuk bayi anda.
  3. Menyusui bayi dalam keadaan tenang dan banyak berehat pada minggu-minggu awal selepas kelahiran bayi.
  4. Pastikan penyusuan dilakukan dengan posisi yang betul dan selesa supaya tidak terasa lenguh.
  5. Makan makanan yang seimbang dan minum air atau cecair yang mencukupi.
  6. Ingatlah bahawa lebih kerap penyusuan dilakukan semakin banyak susu akan dihasilkan.
Amalan Negatif:-
  1. Jangan terpengaruh dengan kata-kata bahawa susu anda tidak mencukupi untuk bayi anda. Bayi hanya perlukan kolostrum pada hari-hari awal selepas kelahiran.
  2. Bayi tidak memerlukan sebarang minuman lain seperti susu botol atau air. Cara menghisap puting botol dan puting buah dada adalah berbeza. Ini akan mengelirukan bayi dan seterusnya menggagalkan penyusuan susu ibu.
  3. Dalam masa 6 minggu pertama adalah 'masa latihan' untuk ibu dan bayi. Anda harus tenang dan sabar semasa melakukan penyusuan kerana cara ini dapat menyelesaikan banyak masalah.
  4. Adalah menjadi suatu kebiasaan jika bayi yang diberi susu ibu kerap membuang air besar. Najis ini biasanya cair dan berwarna kekuningan. Adakalanya bayi tidak membuang air besar beberapa hari lamanya. Ini juga merupakan suatu perkara biasa.
Berapa Lama Bayi Perlu Menyusu?
Penghasilan susu ibu yang secukupnya diperolehi dalam masa 6 minggu. Dengan ini ibu boleh meneruskan pemberian susu selama mana yang diingini. Para doktor mengesyorkan supaya bayi harus diberi susu ibu sekurang-kurangnya selama 6 bulan.
Ramai juga ibu-ibu yang berjaya menyusukan bayi mereka sehingga 2 tahun. Amalan begini sangatlah digalakkan kepada keluarga yang mempunyai banyak alahan.
Oleh kerana banyak susu akan terhasil selepas kelahiran, adalah tidak mustahil bagi ibu-ibu yang bekerja terus menyusui bayi mereka walaupun mereka bekerja sepenuh masa atau secara sambilan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

tq sudi klik klik banner heartbeat ummi nie=)