BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS
Photobucket

tolong klik klik heartbeat ummi nie k.tq

Khamis, 11 November 2010

Variasi kamera kompak


G12 merupakan antara kamera kompak yang menawarkan kualiti gambar terbaik dalam sirinya.


Mahu dapatkan kualiti gambar yang cantik, terang serta jelas tanpa perlu mengusung ke sana ke mari kamera SLR digital yang besar serta berat?
Tambahan pula bagi mereka yang sering pergi bercuti pasti mahu mengabadikan memori percutian dalam bentuk gambar tetapi memiliki ruangan penyimpanan bagasi yang terhad.
Untuk tujuan tersebut, anda pasti memerlukan kamera yang bersaiz kecil tetapi mampu memberikan gambar yang berkualiti tinggi.
Justeru, perhatikan sejenak barisan kamera kompak yang di tawarkan oleh Canon kini.
Dilengkapi dengan Teknologi Sistem HS dan digabungkan bersama pengesan bersensitiviti tinggi serta pemproses imej DIGIC, kamera kompak keluaran Canon kini maju setapak dalam menghasilkan kualiti gambar yang jelas, tajam serta mengurangkan kesan gegaran.
Kini sesiapa jua mampu merakamkan gambar yang terang, jelas serta cantik biarpun dalam keadaan suasana yang gelap serta tanpa menggunakan tripod.
Tambahan bersama teknologi Penstabilan Imej (IS) pastinya anda mampu mengubah landskap aktiviti merakam gambar yang bersaiz besar atau pun makro yang selama ini mustahil kepada lebih menarik.
Selain itu, Mod Automatik Pintar telah berjaya diperbaharui dan mampu mengesan 28 keadaan yang sesuai untuk merakamkan gambar secara automatik bagi memudahkan penggunanya.
Siri kamera kompak Canon terbaru ini juga dilengkapi dengan fungsi perakam video HD dan perakam bunyi stereo membolehkan pengguna merakam video bersama kesan bunyi yang jelas.
Antara siri kamera kompak tersebut adalah Ixus 1000 HS yang juga merupakan kamera kompak ternipis di dunia hadir bersama kadar pemfokusan sebanyak 10 kali.
Hanya setebal 22.3 milimeter (mm), Ixus 1000 HS merupakan antara kamera yang paling bergaya di dalam sirinya.
Ia terdapat dalam pilihan warna perak, perang, dan merah hati menjadikan Ixus 1000 HS sebagai pilihan utama untuk dibawa ke sebarang majlis serta kegunaan harian.
Selain itu, pengguna juga tidak akan terlepas peluang untuk merakamkan gambar menarik pada waktu malam melalui Mod Pintar Automatik.
Sementara itu, menawarkan lensa F2.0 sebagai aplikasi terbaru, PowerShot S95 menjanjikan anda kualiti gambar yang pasti tidak menghampakan.
PowerShot S95 memiliki kebolehan yang fleksibel dalam menyampaikan ekspresi artistik dalam merakamkan gambar dari mana-mana sudut.
Set sahaja kelajuan 'shutter' pada tahap yang tinggi kemudian rakam gambar, pasti anda terkejut dengan kualiti gambar yang jelas serta tajam daripada kamera ini.
Memiliki fungsi Penstabilan Imej (IS) hibrid menjadikan gambar makro anda adalah yang terbaik pernah dimiliki.
Selain itu, mod pengesan AF bagi PowerShot S95 juga membolehkan anda merakamkan subjek yang sedang bergerak tanpa sebarang imej kabur pada subjek.
Semudah memutarkan Gegelang Kawalan yang terdapat di hadapan kamera, pemiliknya juga boleh menukar tatacara seperti Kadar Aspek, Kontras serta Kelajuan ISO dengan lebih cepat.
Seterusnya kamera kompak bersaiz poket yang mudah dibawa ke mana-mana iaitu PowerShot Sx130 IS.
Memiliki lensa luas (wide) 28 milimeter serta sokongan pemfokusan optikal sehingga 12 kali memberikan kelebihan merakam gambar mahupun video dengan lebih luas.
Bersama Mod Automatik Pintar, Mod Mudah serta Mod Rakaman Manual semua orang mampu menghasilkan gambar yang mengagumkan.
Didatangkan bersama 12.1 mega piksel CCD bersama teknologi penstabilan imej (IS) menjadikan gambar lebih jelas dan terang.
Anda juga boleh mencuba Mod Pencahayaan Rendah di mana ia mampu mengurangkan rakaman gambar kabur.
Manakala PowerShot G12 merupakan antara kamera kompak terbaik di antara sirinya.
Terbaru Canon mempertaruhkan teknologi Sistem HS menjadikan fungsi PowerShot G12 sama seperti DSLR namun di dalam saiz yang lebih kecil.
Model terbaru PowerShot G12 ini juga merupakan gabungan pemproses imej DIGIC 4 bersama pengesan sensiviti tinggi bagi merakam gambar terbaik di sebalik keadaan pencahayaan yang teruk.
Selain itu, kelebihan mod rakaman bagi jarak yang jauh juga menjadikan PowerShot G12 sebagai rebutan peminatnya.
Sebagai tambahan, turut disediakan aplikasi penuh serta separa automatik bagi Aperture Priority (Av), Shutter Priority (Tv) dan Mod Program AE.
Namun paling menarik adalah ciri-ciri miniatur serta Mod Fish-Eye bagi memberi kesan gambar yang lebih kreatif serta menarik.
Dan yang terakhir, PowerShot SX30 IS, hadir bersama lensa optikal dengan pemfokusan sebanyak 35 kali.
PowerShot SX30 IS merupakan kamera kompak pertama yang memiliki kelebihan lensa sudut luas serta telefoto dengan kadar pemfokusan dari 24 milimeter (mm) hingga 840 mm.
Ia turut dilengkapi fungsi Pemfokusan Framing Assist (gabungan kelajuan pemfokusan bersama kelajuan AF) untuk membantu pengguna mengesan subjek di kalangan orang ramai sekali gus merakamkan gambar subjek tersebut dengan jelas.
PowerShot SX30 IS sesuai untuk semua peringkat umur yang mana mereka boleh memilih untuk menggunakan pilihan kawalan manual mahu pun automatik.

KERADANGAN AKIBAT ASAP RACUN

ATURAN pernafasan terasa lebih sukar hinggakan adakalanya terpaksa tercungap-cungap. Setiap hela dirasakan tidak puas untuk meredakan rasa 'rimas' di dada. Ia disertai pula dengan keperitan di salur kerongkong akibat batuk-batuk yang berlarutan.
Itu belum lagi bercakap mengenai beberapa simptom lain seperti sakit tekak, demam, keletihan, sakit badan dan otot, hidung tersumbat dan berair, muntah dan cirit birit (disebabkan virus) serta sakit dada.
Jika anda mengalami simptom sedemikian, segeralah mendapatkan nasihat doktor kerana terdapat kemungkinan anda menghidap bronkitis.
"Bronkitis adalah radang pada saluran pernafasan yang berfungsi membawa udara ke tisu paru-paru. Maka, jika ia mengalami radang, ia akan membengkak dan terdapat penghasilan mukus atau lendir.
"Ini menyebabkan saluran pernafasan menjadi sempit dan menyebabkan kesukaran untuk bernafas," kata Pakar Perubatan dan Pernafasan Pantai Hospital Ampang, Dr. Zal Abdul Rahim.
Beliau memberitahu, penghidap bronkitis selalunya akan batuk berkahak, mengalami pernafasan berdehit, sakit dada, dada berasa 'ketat', demam dan sesak nafas.
Semua itu adalah kesan akibat terdedah kepada sesuatu keadaan persekitaran berisiko yang mengganggu salur pernafasan seperti asap rokok, pencemaran udara, habuk dan asap.
Akut dan kronik
Bronkitis terbahagi kepada dua iaitu akut dan kronik. Secara asasnya, bronkitis akut berlaku dalam masa singkat iaitu antara beberapa hari hingga beberapa minggu manakala bronkitis kronik berlaku dalam tempoh masa yang lama dan sering berulang.
"Kebiasaannya, kanak-kanak sering mendapat jangkitan bronkitis akut. Ia terjadi akibat jangkitan bakteria dan virus yang tersebar melalui udara apabila seseorang itu batuk. Ia juga boleh tersebar melalui sentuhan, contohnya, lendir yang melekat pada tangan.


TABIAT merokok bukan sahaja membahayakan diri perokok itu sendiri malah kepada orang di sekelilingnya.


Bronkitis jenis akut dialami penghidapnya selama beberapa hari dan kadang-kala sehingga beberapa minggu selepas jangkitan kuman sembuh. Namun, kesan radang masih kekal.
Zal menambah, masalah kesihatan itu ditanggung penghidapnya dari semasa ke semasa apabila seseorang itu mendapat jangkitan virus atau bakteria pada saluran pernafasan.
Walaupun begitu, tempoh batuk yang dialami tidak melebihi dua hingga tiga minggu.
Lanjutan daripada keadaan bersifat sementara itu, bronkitis kronik pula boleh terjadi selagi faktor penyebab radang berlaku secara berterusan hingga mengganggu salur pernafasan terutamanya pada lapisan tiub bronkiol.
"Mereka yang sentiasa terdedah kepada asap seperti asap rokok memburukkan lagi keadaan radang pada paru-paru," ujar beliau.
"Penghidap bronkitis kronik selalunya menderita batuk selama lebih daripada tiga bulan dan berlanjutan sehingga sekurang-kurangnya dua tahun," jelas Zal.
Walau bagaimanapun, penghidap bronkitis tidak perlu bimbang kerana penyakit ini boleh diubati. Bagi yang menghidap bronkitis akut, rutin pengambilan ubat adalah mengikut keperluan dan tidak sekerap dan selama pesakit bronkitis kronik.
Tempoh lebih lama
Penghidap bronkitis kronik memerlukan ubat untuk tempoh yang lama selagi ia terdedah kepada faktor yang menjadikan bronkitis itu kronik.

ZAL memberi penerangan mengenai simptom penyakit seperti bronkitis serta asma dan penyakit sekatan pulmonari kronik(COPD).



"Kadang-kala, ubat perlu diambil seumur hidup walaupun penyebab atau puncanya sudah tiada. Disiplin itu perlu diikuti kerana kerosakan yang terjadi pada salur pernafaan pesakit tidak boleh dipulihkan sepenuhnya. Ini selalunya berlaku dalam kalangan perokok.
"Tujuan utama pengubatan adalah mengurangkan simptom dan menjadikan pernafasan itu mudah," ujar Zal.
Bagi pengidap bronkitis akut pula, mereka disarankan berehat, mengambil air secukupnya dan makan ubat demam jika perlu. Nebuliser mungkin diperlukan jika saluran nafas terlalu sempit.
Pesakit bronkitis kronik boleh memanfaatkan penggunaan bronchodilator diperlukan bagi membuka saluran pernafasan selain ubat sedutan yang mengurangkan radang pada saluran nafas.
Golongan tersebut juga perlu berhenti merokok atau mengelakkan diri daripada terus terdedah pada pencemaran udara lain seperti habuk, asap dan jerebu. Jika keadaan pesakit semakin teruk, terapi oksigen perlu dijalankan.
"Pakai topeng mulut apabila terpaksa menggunakan bahan seperti cat, varnis dan lain-lain bahan kimia seperti serbuk pencuci.

PELBAGAI peralatan bantuan sistem pernafasan boleh digunakan penghidap bronkitis, asma atau penyakit lain yang mempunyai simptom seumpamanya.


"Selain itu, pesakit disyorkan untuk membasuh tangan dengan kerap, menjauhi mereka yang dijangkiti flu, mendapatkan vaksin dan mengamalkan diet sihat.
"Jika musykil tentang sesuatu simptom, eloklah dirujuk pada doktor seterusnya mengambil ubat yang disarankan. Pesakit juga digalakkan menyertai program senaman dan pemulihan pulmonari bagi membantu pernafasan seterusnya meningkatkan keupayaan pernafasan," ujar beliau.
Ketika ditanya apa yang membezakan penyakit bronkitis dan asma kerana kedua-duanya berkongsi simptom lebih kurang sama, Zal menjelaskan bahawa seseorang yang kerap kali mendapat bronkitis mungkin sebenarnya menghidap asma.
"Asma ialah sejenis penyakit kronik akibat keradangan pada saluran pernafasan. Dinding saluran pernafasan pesakit asma biasanya membengkak dan menghasilkan mukus atau lendir.
"Saluran pernafasan pesakit asma menjadi hiper aktif atau hiper responsif hingga menyebabkan penguncupan saluran pernafasan. Mereka akan mengalami simptom yang kronik dan berulang-ulang," katanya.
Lebih spesifik, pesakit asma boleh mengalami alahan pada variasi kemungkinan seperti habuk, lipas, kucing, anjing, burung, arnab, hamster, fungus dan kulapuk, debunga, asap rokok, kereta, pembakaran dan pencemaran udara.

EPAL HIJAU

Amalan memakan sebiji epal hijau setiap hari sememangnya digalakkan. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang ingin menurunkan berat badan. Ini kerana ia bukan sekadar mempunyai pelbagai khasiat malahan ia juga mampu mengurangkan kadar kolesterol dalam badan.
Epal hijau mengandungi zat besi, magnesium, potasium, kalsium, soldium, vitamin C, vitamin A dan vitamin B serta merupakan sumber serat yang mudah larut. Kita digalakkan memakan epal bersama dengan kulitnya kerana sebahagian kandungan vitamin C terletak di bawah kulitnya.
Epal Hijau
Epal hijau boleh membantu mencegah:

  • Pembinaan kolesterol dalam dinding salur darah.
  • Mengurangkan risiko penyakit jantung.
  • Membantu kesihatan membran paru-paru.
  • Membantu kesihatan tulang dengan menambah bahan kimia (boron) pada mineral tulang.
  • Membantu kesihatan sistem kardiovaskular dengan mengekalkan tahap kolesterol darah.
  • Membantu mengekalkan berat badan.
  • Mengurangkan tekanan penyakit asma.
  • Mengurangkan risiko barah.
Bagi mereka yang mempunyai masalah sembelit atau penghadaman, kisarkan epal hijau dengan saleri dan diminum setiap pagi sebelum sarapan. Ia dapat membersihkan saluran usus serta membuang toksid dengan pantas menerusi sistem pencernaan. Zat masam epal hijau merupakan pembersih tubuh yang sangat baik.
Epal hijau juga bertindak sebagai penyegar kulit wajah. Potong epal hijau dan rendamkan seketika di dalam air batu selama 5 minit. Kemudian letakkan di muka, biarkan selama 15 minit. Anda akan dapat rasakan kesegarannya. Jika diamalkan selalu ia boleh melicinkan kulit.

Rabu, 10 November 2010

KEPUTUSAN UPSR

            Pagi ni,keputusan exam UPSR abang,akan di umumkan dlm beberapa jam lg,tak tau lah macamana hasilnya yg dipelajari setiap hari di sekolah dan kat rumah selama enam thn.Tapi nape...hati ummi tak de..berdebar2  mcm abang  mula2 nak duduki exam ari tu,,,.Pelik pun ada,lucu tu sikit2...lah.Kisahnya abng yg nak ambil exam seminggu sebelum tu, ummi plak yg gemuruh,mcm ummi lah plak nak exam,tak taulah agaknya mungkin ni anak pertama ummi  nak duduki exam so...agaknya ummi ni terlalu risaukan dia kok...pasal, ni exam besar, tak mcm yg lain.Ari tu, ummi tak sempat nak entry,biasalah,. dah ada baby baru....mlas nak entry,kejap2 ada je baby nak nolong sibuk sekali,.... .Pd ummi,abng dah usaha apa yg terbaik utk dirinya,Sebagai seorg ummi,hanya doa pd yg 'ESA' mengiringi  perjlnannya setiap hari.Solat hajat  dan bersama doa tuk kejayaan anak2 ummi tak pernah  dilupakan setiap kali nak hadapi exam.

Selasa, 9 November 2010

Bumi bukti kekuasaan Allah

Sheikh al-Maraghi berkata: "Allah SWT telah menerangkan tentang kedatangan hari kiamat, bahawa manusia pada hari itu terbahagi kepada dua golongan, iaitu golongan manusia yang celaka dan yang bahagia.
"Seterusnya Dia menjelaskan pula bahawa golongan yang celaka selalu berada dalam keadaan hina-dina, manakala golongan yang bahagia yang saat itu bersuka ria, yang mana tergambar pada wajah-wajah ceria.
"Lalu, ditegaskan dengan mengemukakan hujah-hujah untuk melumpuhkan orang yang mengingkari-Nya. Diarahkan pendangan mereka untuk mengamati jejak kekuasaan-Nya atas sesuatu yang ada di hadapan mereka dan yang berada dalam jangkauan penglihatan mereka seperti langit yang menaunginya, bumi yang menyanggahnya, unta yang dimanfaatkan untuk berpergian serta dimakan dagingnya, diminum susunya, manakala bulu-bulunya dijadikan pakaian, dan gunung-ganang sebagai panduan mereka di padang sahara dan ketika menyusuri jejak".
Firman Allah SWT: (Mengapa mereka yang kafir masih mengingkari akhirat) tidakkah mereka memperhatikan keadaan unta bagaimana ia diciptakan?
Al-Mawardi berkata: Berdasarkan ayat-ayat ini menunjukkan tiga perkara:
i. Untuk mereka berdalil dan mengambil bukti serta pengajaran atas kudrat Allah dan Keesaannya.
ii. Supaya mereka mengetahui berkenaan kudrat-Nya atas semua perkara dan mampu serta berkuasa untuk membangkitkan mereka pada hari kiamat, seperti kata Yahya bin Salam.
iii. Allah SWT tatkala menyifatkan syurga kepada mereka lantas mereka yang sesat merasa hairan. Justeru, disebut bagi mereka tentang perkara yang ajaib untuk menghilangkan kehairanan mereka. Inilah pendapat Qatadah.
Kenapa dinyatakan unta?
Sayid Qutub berkata: Unta merupakan haiwan masyarakat Arab yang utama. Ia merupakan alat kenderaan dan pengangkutan mereka. Susu dan dagingnya menjadi makanan dan minuman mereka.
Bulu dan kulitnya menjadi pakaian dan khemah mereka. Ia merupakan sumber utama kehidupan.
Di samping itu, unta mempunyai sifat-sifat yang tidak ada pada haiwan-haiwan yang lain. Walaupun bentuk tubuh badannya kuat, besar dan gagah namun ia mudah dituntun.
Ia akan mengikut dan patuh walaupun dituntun oleh kanak-kanak yang kecil. Walaupun kegunaan dan perkhidmatannya begitu besar, namun perbelanjaan memeliharanya kecil. Makanannya senang dan belanjanya murah.
Unta adalah binatang yang paling sabar dan tahan lasak. Ia tahan lapar, dahaga, penat dan gigih menghadapi keadaan-keadaan yang buruk.
Firman Allah SWT: dan keadaan langit bagaimana ia ditinggikan binaannya?
Ibn Kathir berkata: Syuraih al-Qadi menyebut: Marilah keluar bersama kami sehingga kami dapat melihat unta bagaimana ia diciptakan dan langit bagaimana diangkatnya. Bagaimana Allah SWT mengangkat langit daripada bumi? Hal ini amat besar dan hebat.
Firman Allah SWT: dan keadaan gunung-ganang bagaimana ia ditegakkan?
Ibn Kathir berkata: Ia bertujuan untuk menetapkan bumi dengan pasaknya. Begitu juga dijadikan padanya sebahagian daripada manfaat dan hasil galian.
Al-Maghari menambah: Ia dapat didaki pada setiap saat, menjadi panduan bagi orang yang melintasi padang tandus dan menjadi tempat pancuran air hujan untuk mengairi tanaman dan minuman haiwan.
Firman Allah SWT: dan keadaan bumi bagaimana ia dihamparkan?
Hamka berkata: Dan perjalanan itu dilakukan di muka bumi, beratap langit, berpasak gunung dan alat pengangkutan unta. Semuanya terjadi di muka bumi, maka dengan sendirinya sebagai renungan terakhir memandang bagaimana Allah SWT menghamparkan bumi untuk manusia hidup.
Penutup
Sayid Qutub berkata: Empat ayat pendek ini mengumpulkan bahagian-bahagian alam sekitar masyarakat Arab yang ditujukan al-Quran ini kepada mereka buat pertama kalinya.
Di samping itu, ia mengumpul bahagian kejadian yang nyata di seluruh alam ini iaitu kejadian langit, bumi, gunung-ganang dan unta yang mewakili seluruh haiwan yang lain dengan keistimewaan kejadiannya serta nilai khususnya dalam masyarakat Arab.
Seluruh pemandangan terbentang kepada semua penglihatan manusia. Di mana sahaja mereka berada, akan bertembung dengan langit, bumi, gunung-ganang dan haiwan.
Walaupun sebanyak mana dan sejauh mana ilmu pengetahuan dan tamadun manusia, namun seluruh pemandangan ini tetap di dalam alam mereka dan di dalam kemampuan akal mereka.
Dan seluruh pemandangan ini menyarankan kepada mereka hikmah yang wujud di sebalik penciptaannya apabila mereka menumpukan perhatian untuk mencari makna dan tujuan di sebaliknya.
Semoga kita menjadi hamba Allah yang benar-benar beriman dan mengetahui dalil untuk makrifah Allah SWT.

Rabu, 3 November 2010

Qawa’id fiqhiyyah dalam memahami hukum

DALAM menghasilkan sesuatu hukum, biasanya para mujtahid akan melihat kepada keseluruhan dalil-dalil dari nas al-Quran dan sunnah. Tidak memadai bagi mereka merujuk kepada satu dalil sama ada dari al-Quran atau sunnah untuk mengeluarkan ijtihad.
Langkah ini dibuat untuk memastikan penghasilan ijtihad dan fatwa benar-benar kukuh dan boleh menjadi rujukan kepada yang lain.
Apabila para mujtahid mendapati dalil-dalil yang mempunyai persamaan pada hadaf serta tujuannya, maka mereka menghimpunkan dalam satu kategori agar memudahkan umat Islam khususnya orang awam membuat rujukan.
Apabila telah dibahagikan kepada kategori-kategorinya yang tersendiri, maka ia akan dijadikan sebagai kaedah yang dinamakan sebagai qawa’id fiqhiyyah (kaedah-kaedah fiqh).
Pengkategorian ini bukanlah untuk memisahkan hukum-hakam Allah SWT. Ini kerana semua yang terkandung dalam nas al-Quran dan sunnah mempunyai pertalian dan kaitan antara satu sama lain.
Bagaimanapun, qawa’id fiqhiyyah ini diperkenalkan demi memastikan kemudahan kepada ulama dan masyarakat awam untuk membuat rujukan dan memahami nas-nas.
Qawa’id fiqhiyyah juga bukanlah dihasilkan supaya masyarakat mengenepikan al-Quran dan sunnah sebagai sumber rujukan utama. Tetapi sebenarnya qawa’id fiqhiyyah adalah kesimpulan yang bersumberkan al-Quran dan sunnah sebagai asas.
Para ulama telah berusaha memahami nas-nas dan kemudiannya dijadikan kaedah umum yang boleh dirujuk apabila sesuatu masalah berlaku.
Apabila masalah baru yang berlaku mempunyai ‘illah yang sama dengan masalah-masalah furu’ (cabang) yang telah digabung di bawah kaedah umum berkenaan, maka ia akan memudahkan ulama untuk mengetahui hukum kerana persamaan ‘illah akan membawa kepada persamaan hukum.
Terdapat lima qawa’id fiqhiyyah yang ditetapkan oleh ahli-ahli fiqh.
l Kaedah pertama ialah al-umuru bimaqasidiha (Setiap perkara dinilai berdasarkan niat dan matlamat).
Kaedah ini menunjukkan bahawa setiap perkara dan perlakuan itu dikira berdasarkan niat dan matlamatnya. Asas utama pembinaan kaedah yang pertama ini adalah hadis daripada Umar al-Khattab: Sesungguhnya setiap amalan itu dikira dengan niat dan sesungguhnya bagi setiap orang apa yang diniatkannya….(riwayat Muslim).
Justeru, niat menjadi asas utama penerimaan sesuatu amalan itu diterima atau ditolak oleh Allah SWT.
Niat juga membezakan antara halal dan haram, dosa dan pahala. Niat juga akan menentukan jenis-jenis amalan yang dilakukan serta hukum yang tertakluk padanya.
Sebagai contoh, perbezaan utama antara solat Dhuha dan solat Subuh ialah niat kerana kedua-duanya dilihat sama dari sudut bilangan rakaatnya dan segala rukun fi’li (perbuatan) dan qauli (bacaan) yang lain.
Demikianlah betapa besar nilai sesuatu niat disisi Allah SWT. Bahkan, sesiapa yang mempunyai niat untuk melakukan kebaikan dan kebajikan tetapi gagal melakukannya kerana terdapat kesulitan (masyaqqah), dia tetap diberi pahala oleh Allah SWT.
Ini berdasarkan hadis nabi SAW yang diriwayatkan dari Abu Zar al-Ghifari: “Sesiapa yang masuk tidur sedangkan dia berniat untuk bangun solat sunat pada tengah malam, namun disebabkan terlalu mengantuk atau tidak terjaga, dan dia terjaga apabila sudah masuk waktu subuh, maka dia akan mendapat pahala dan ditulis apa yang diniatkan itu”. (riwayat al-Nasaie)
l Kaedah fiqh yang kedua adalah al-Yaqiin la Yuzaal bil al-Syak (keyakinan tidak hilang dengan keraguan).
Ia bermaksud sesuatu perkara yang sudah diyakini, apabila timbul keraguan selepas itu tidak akan menjejaskan keyakinan yang ada.
Ia juga bermaksud keyakinan yang asal tidak boleh ditinggalkan disebabkan keraguan atau syak. Ia berasaskan banyak nas yang menunjukkan apabila berlakunya syak, maka perlu kembali kepada keyakinan asal.
Sebagi contoh, hadis dari Abu Sa’id al-Khudri: Jika seseorang daripadaa kamu ragu-ragu ketika solat, dia tidak ingat berapa rakaatkah yang telah dikerjakannya, tiga atau empat, maka ketepikanlah keraguan tersebut dengan keyakinan. (riwayat Muslim)
Hadis ini menunjukkan bahawa apabila seseorang itu berada dalam keadaan syak sama ada dia telah menunaikan berapa rakaat, maka perlu mengambil kira bilangan yang sedikit kerana ia meyakinkan dan tidak terjejas dengan keraguan.
Demikian juga hadis daripada Abu Hurairah r.a: Jika seseorang kamu merasakan sesuatu di dalam perutnya, kemudian timbul keraguan dengan sebabnya, apakah telah keluar sesuatu daripadanya atau tidak? Maka janganlah dia keluar dari masjid sehingga dia telah mendengar bunyi atau mencium bau. (riwayat Bukhari dan Muslim)
Melalui beberapa hadis ini, maka para ulama menyatakan, barang siapa yang yakin telah berwuduk tetapi syak sama ada wuduknya terbatal atau tidak, maka dia dikira masih berwuduk, iaitu mengekalkan keadaan sebelum datangnya keraguan itu.
Demikian juga sekiranya seseorang yang berpuasa makan pada waktu petang tanpa berijtihad sama ada sudah masuk waktu berbuka atau belum. Kemudian datang keraguan padanya sama ada sudah sudah terbenam matahari atau tidak, maka puasanya terbatal kerana mengikut asalnya tidak terbenam matahari.

Quraisy cemburui Islam di Madinah


Tidak sebagaimana hari ini umat Islam bebas melakukan tawaf mengelilingi Kaabah berbanding di awal zaman hijrah, ancaman kafir Quraisy menjadi penghalang.


APAKAH suasananya di Mekah, selepas Nabi Muhammad SAW dan para pengikut baginda berjaya mendirikan sebuah negara Islam Madinah? Apa reaksi penduduk Mekah apabila baginda berjaya 'menakluk' Madinah hanya dengan menghulurkan tali persaudaraan dalam Islam yang menjanjikan keamanan dan kestabilan?
Yang lebih pahit menerima realiti itu sudah tentu para penentang baginda khususnya golongan kafir Quraisy Mekah. Mereka terpaksa menerima hakikat bahawa umat Islam sudah mempunyai kedudukan yang dikira kukuh dan kuat di Madinah.
Lalu tanpa mempunyai banyak pilihan, penentangan terhadap Islam tetap diteruskan walau dengan apa cara sekalipun.
Namun, mereka tidak pernah sedar kesan daripada kejahatan dan permusuhan yang tidak ada penghujungnya, umat Islam memperoleh tempat yang aman dan stabil di Madinah.
Lalu apakah yang para kafir Quraisy ini lakukan bagi meneruskan api permusuhan itu? Adakah mereka terus menyusun bala tentera dan menyerang Kota Madinah? Atau mereka terpaksa memikirkan jalan lain selain dari serangan dan peperangan terhadap umat Islam?
Sebelum ini dalam Perjanjian Aqabah yang berlaku antara penduduk Madinah yang datang menemui Rasulullah di Mekah, perjanjian itu berlangsung secara rahsia sehinggakan Ketua Puak Ansar, iaitu Abdullah bin Ubay bin Salul sendiri tidak tahu menahu mengenai perjanjian yang melibatkan anak-anak buahnya dengan Rasulullah.
Maka Abdullah bin Ubay yang masih berada di Madinah cuba diperalatkan oleh kafir Quraisy bagi memulakan era baru permusuhan terhadap umat Islam di Madinah.
Lebih tepat, Abdullah bin Ubay menjadi musuh dalam selimut terhadap umat Islam. Iaitu atas sifatnya yang diketahui sebagai seorang yang musyrik.
Musyrik adalah orang yang melakukan dosa syirik iaitu mempersekutukan atau membuat tandingan hukum atau ajaran lain selain dari ajaran atau hukum Allah.
Seperti yang diketahui puak Ansar sebelum ini telah bersetuju melantik Abdullah bin Ubay sebagai ketua dan hampir melantiknya sebagai Raja jika tidak kerana hijrah Rasulullah dan keimanan mereka terhadap Islam yang dibawa oleh baginda.
Lalu para pembesar Quraisy menulis sepucuk surat kepada Abdullah bin Ubay sebagai pembuka jalan yang mana ia sebenarnya tidak lebih sebagai satu usaha untuk membakar hati Abdullah.
Antara yang tertulis pada surat tersebut: "Sesungguhnya kamu telah menyembunyikan seseorang dari kalangan kami dan kami bersumpah dengan nama Allah bahawa kamu mesti memeranginya atau mengusirnya keluar (dari Madinah).
"Jika tidak, kami akan datang memerangi kamu dan menghalalkan kaum wanita kamu!"
Sebaik menerima dan membaca surat itu, Abdullah bin Ubay bagaikan terbakar hatinya.
Ia menyemarakkan semangatnya bagi menuntut kembali haknya yang kononnya telah dirampas itu.
Benar, beliau begitu berdendam terhadap Rasulullah kerana menyifatkan baginda telah merampas sebuah kerajaan darinya.
Abdul Rahman bin Kaab memberitahu: "Apabila surat itu sampai kepada Abdullah bin Ubay dan rakan-rakan penyembah berhala yang bersamanya di Madinah, mereka pun terus berpakat untuk memerangi Rasulullah."
Namun berita itu akhirnya sampai juga kepada Nabi Muhammad lalu dalam satu pertemuan, baginda pun berkata; "Ancaman Quraisy telah sampai kepada kamu. Perancangan Quraisy terhadap kamu itu tidaklah melebihi kehendak kamu untuk memperbodoh-bodohkan diri sendiri. Apakah kamu hendak memerangi anak pinak dan saudara mara kamu sendiri?"
Setelah mendengarkan kata-kata baginda Rasulullah, mereka termasuk pengikut Abdullah bin Ubay pun beredar.
Pada saat itu, Abdullah bin Ubay pun membatalkan hasratnya untuk berperang kerana para pengikutnya menjadi lemah semangat selepas mendengarkan kata-kata Nabi Muhammad sebagai seorang pemimpin yang disegani.
Kata-kata baginda itu tidak sahaja menyuntikkan kesedaran tetapi apa yang penting apa yang baginda katakan itu adalah benar.
Adakah mereka sanggup memerangi kaum keluarga, saudara mara mereka sendiri hanya untuk mengikut telunjuk Quraisy Mekah itu?

Tasauf dan syariat


Di antara tanda kekasih Allah SWT ialah dengan mengikut kekasih Allah (Rasulullah SAW) pada akhlak, perbuatan, suruhan dan sunnahnya. - Gambar hiasan


 Menjelaskan kesilapan sesetengah golongan yang cenderung menuduh bidaah terhadap sesama Islam sedangkan tidak semua yang baharu dalam agama itu adalah bidaah secara hakiki. Seringkali yang dikatakan bidaah hasanah itu sebenarnya bukanlah bidaah melainkan dari sudut bahasa sahaja.
Aliran yang paling banyak dituduh dengan amalan bidaah adalah aliran tasauf sehingga ia teraniaya, ditohmah dan dipandang serong. Hanya segelintir manusia yang memandangnya dengan betul dan benar. Sebahagian besar ahli masyarakat melabelkan tasauf dan sufi dengan sifat-sifat yang tercela dan keji sehingga menjatuhkan hak penyaksian dan keadilan seseorang ahli tasauf. Mereka sampai berkata: "Si fulan tidak boleh dipercayai dan tidak boleh diterima khabarnya. Kenapa? Kerana dia adalah seorang Sufi!"
Namun demikian, apa yang menghairankan, orang-orang yang begitu lancang mencaci tasauf dan menentang ahli sufi ini pula, kerap mengutip kata-kata dan perbuatan ahli sufi untuk dijadikan bahan teks ucapan dan pengajaran mereka di atas mimbar-mimbar Jumaat dan kerusi-kerusi pengajian.
Mereka seolah-olah tidak berasa malu dan segan meminjam kata-kata imam-imam sufi ini untuk digunapakai dalam khutbah-khutbah dan majlis-majlis pengajian mereka. Kita seringkali mendengar mereka mengucapkan: Telah berkata al Fudhail ibn 'Iyadh r.a, telah berkata Junaid al Baghdadi r.a, telah berkata Hasan al Basri r.a, telah berkata Sahl al Tasturi r.a, telah berkata al Muhasibi r.a, telah berkata Bisyr al Hafi r.a dan sebagainya.
Adakah mereka tidak kenal siapakah insan yang meniti di bibir-bibir mereka itu? Nama-nama ulama yang mereka sebut merupakan pemuka-pemuka tasauf yang tidak asing lagi. Malah ulama inilah yang telah menyusun kaedah-kaedah ilmu tasauf dan telah mencapai kedudukan sebagai wali qutub (pangkat kewalian tertinggi). Kitab-kitab tasauf juga dipenuhi dengan kata-kata mereka, khabar-khabar dan biografi mereka. Tidak dapat dipastikan, sama ada orang yang mentohmah ahli tasauf ini benar-benar orang yang jahil ataupun buat-buat jahil? Atau mereka ini buta atau buat-buat buta?
Kita suka menaqalkan kalam imam-imam agama yang mereka ini adalah penyangga dan rijal tasauf. Apa yang kita kehendaki di sini adalah menaqalkan kalam mereka mengenai syariat Islam supaya kita mengetahui mawqif (pendirian) mereka yang sebenar. Kita wajib mengenali seseorang itu melalui dirinya sendiri. Dalam mengenali seseorang, dirinya sendirilah yang terbaik untuk menceritakan mengenai pendapatnya sendiri dan lebih dipercayai apabila dia menzahirkan apa yang ada di dalam hatinya

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

tq sudi klik klik banner heartbeat ummi nie=)